5 Remaja Usia 14-15 Tahun Baling Batu Di Lebuh Raya Ditahan | SEREMBAN – Lima remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes insiden membaling batu ke arah sebuah lori di Kilometer 253.3 Lebuh Raya Senawang Seremban di sini, Isnin lalu seperti yang tular di media sosial telah berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kelima-lima suspek berusia 14 hingga 15 tahun ditahan di lokasi berasingan sekitar Seremban.

“Hasil operasi dan maklumat, pada pukul t hingga 7 petang semalam sepasukan Anggota Respon Team Balai Polis Senawang telah berjaya membuat tangkapan ke atas lima lelaki untuk siasatan lanjut bersabit kes baling batu di Lebuh Raya Seremban Senawang.

“Tiga tangkapan dibuat di Bandar Seremban Selatan dan dua tangkapan di Taman Seremban Jaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arifai, kesemua suspek masih bersekolah iaitu tiga suspek berusia 14 tahun manakala dua suspek lagi berusia 15 tahun.

“Permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dibuat di mahkamah hari ini,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, pihak polis mengesahkan menerima laporan berkaitan insiden membaling batu ke arah sebuah lori di Kilometer 253.3 Lebuh Raya Senawang Seremban di sini kelmarin seperti yang tular di media sosial.

Seorang lelaki yang merupakan pemandu lori berusia 32 tahun telah membuat laporan polis lebih kurang pukul 8.14 malam kelmarin menyatakan cermin hadapan lori miliknya telah dibaling objek kayu dan batu semasa sedang melalui Lebuh Raya Senawang Seremban/

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Lelaki Maut Dibaling Batu Ketika Tunggang Motosikal | Seorang lelaki berusia 18 tahun meninggal dunia di hospital selepas dua samseng membaling batu ke arahnya ketika dia menunggang motosikal di wilayah Satun, Thailand, lapor laman berita Thaiger semalam.

Kullatat Tohem dikejarkan ke hospital pada 2 April lalu akibat kecederaan serius di kepala. Dia dirawat sebelum meninggal dunia petang semalam.

Menurut saudaranya, Kullatat mengalami kerosakan otak dan tidak bertindak balas terhadap rawatan.

Dua suspek, Fasol Tonyale dan Natthakit Dorla menyerah diri di Balai Polis Mueang Stun pada 4 April lalu.

Fasol menafikan semua dakwaan tetapi dipenjarakan selama 12 hari sebelum dibicarakan di mahkamah. Situasi Natthakit lebih ringan kerana dia seorang remaja.

Mereka didakwa melanggar Seksyen 297 Undang-undang Jenayah dengan melakukan kecederaan pada anggota badan hingga menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.

Hukumannya ialah penjara enam bulan hingga 10 tahun dan denda 10,000 baht (RM1,277) hingga 200,000 baht (RM25,550).

Menerusi temu bual oleh MGR Online, isteri Fasol mendakwa bahawa suami dan rakan-rakannya mempunyai konflik sebelum ini dengan Kullatat.

Kullatat dan rakan-rakannya pernah memasuki rumah mereka untuk mencabar suaminya melawan mereka.

Wanita itu mendakwa suaminya tidak berniat membunuh mangsa dan tindakan itu bertujuan untuk mempertahankan diri.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply