578 Masjid Di Seluruh Kedah Sediakan ‘Bank Makanan’ | Penduduk yang terputus bekalan makanan boleh mendapatkan makanan asas yang disediakan melalui program bank makanan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di 578 masjid seluruh Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Zakaria Othman berkata, golongan yang kelaparan akibat terputus sumber pendapatan boleh terus menghubungi pihak pengurusan masjid untuk mengambil set bekalan makanan yang disediakan.
Menurut beliau, mereka yang ingin mengambil bekalan makan terbabit tidak perlu mengisi apa-apa borang kerana pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM1 Juta sebulan bagi tujuan bantuan makanan asas terbabit.
Antara jenis makanan yang dibekalkan LZNK di masjid ialah beras, gula, teh, kopi, telur, sardin, tepung, kicap, sos, bihun dan lain-lain.
Jelasnya, pihaknya juga sentiasa memantau dan segera menghantar bekalan makanan sekiranya terdapat mana-mana masjid yang memerlukan bekalan makanan.
Zakaria berkata, program bank makanan LZNK mula diperkenal sejak 2018 dan sistem bantuan ini sudah kukuh dan sudah banyak pihak mendapat manfaat darinya.
Bagaimanapun, sekiranya terdapat individu yang memerlukan bantuan kewangan segera, mereka perlu menghubungi pengurusan masjid atau amil di kawasan mereka.
Tambahnya, pihaknya kini sedang cuba untuk menaik taraf sistem sedia ada bagi memastikan ia tidak banyak kerenah birokrasi dan memudahkan orang ramai.
Namun, dalam pada masa yang sama, pihaknya masih perlu menyemak agar tiada pihak yang tidak bertangunggjawab mengambil kesempatan dari setiap bantuan yang diberikan.
Sumber: Metro