58 Kilang Di Sabah Dibenarkan Untuk Beroperasi Selama 24 Jam | Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan telah mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula 1 Jun ini hingga 14 Jun depan.

58 Kilang Di Sabah Dibenarkan Untuk Beroperasi Selama 24 Jam

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah telah membenarkan sebanyak 58 kilang berkaitan industri sawit dan pembinaan beroperasi 24 jam sehari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kilang terbabit terdiri daripada kilang penapisan minyak sawit, kilang pemprosesan kelapa sawit, kilang biodiesel, kilang baja kimia, kilang pemprosesan Spent Bleaching Earth, kilang besi dan keluli serta kilang simen.

Beliau berkata, kebenaran beroperasi selama 24 jam sehari itu mengambil kira aspek mekanikal kilang terbabit yang memerlukan masa panjang untuk menghidupkan semula mesin, jika operasinya dihentikan. Bukan itu sahaja, pemberhentian mesin dan menghidupkan semula mesin seperti relau dan boiler akan mengambil masa yang panjang selain akan merosakkan mesin sekiranya diberhenti dan dihidupkan semula terlalu kerap.

Masidi berkata, kerajaan negeri turut membenarkan pelabuhan di bawah Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) beroperasi 24 jam sepanjang tempoh PKP kali ini.

Selain itu, katanya operasi jeti dalam kawasan persendirian utama yang memerlukan pengoperasian berterusan atas keperluan produk atau kargo import dan eksport juga dibenarkan beroperasi 24 jam.

“Bagaimanapun, operasi sektor logistik pengangkutan darat dan penstoran adalah dihadkan antara 6 pagi hingga 8 malam,” katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu, Masidi berkata, nelayan di negeri ini yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di persisiran pantai dinasihatkan untuk mendapatkan surat pengesahan Jabatan Perikanan Sabah untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Bagi operasi gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan katanya, kerajaan membenarkan pembukaannya sepanjang PKP 3.0 bagi membolehkan petani dan nelayan menjual hasil tanaman dan tangkapan mereka.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply