LONDON – Seorang wanita terkejut apabila mengetahui bahawa anak angkat yang dipelihara selama tujuh tahun rupa-rupanya merupakan anak kandung suaminya dengan kekasih gelap lelaki itu, lapor akhbar Daily Star UK, semalam.

7 Tahun Jaga Anak Angkat, Rupanya Anak Kandung Suami Hasil Perselingkuhan

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia memilih untuk mengambil anak angkat selepas doktor menasihatinya untuk tidak hamil lagi selepas kelahiran anak keempat.

Dia dan suaminya, Dave, berbincang untuk mengambil anak angkat ketika lelaki itu diarahkan bertugas di luar negara.

Lalu, mereka bersetuju untuk menunggu Dave pulang ke rumah bagi meneliti pilihan yang ada.

Namun begitu, ketika berada di luar negara, suaminya secara tiba-tiba mencadangkan pengambilan anak angkat antarabangsa dan wanita itu akhirnya bersetuju.

Dave mengendalikan semua kertas kerja dan pasangan itu menyambut kehadiran seorang bayi lelaki bernama Kalen dalam keluarga tersebut.

Rahsia identiti Kalen bagaimanapun terbongkar selepas kanak-kanak itu berusia tujuh tahun.

“Sebenarnya, sejak mengambil Kalen menjadi anak angkat, ramai ahli keluarga yang tidak percaya dia bukan anak kandung kami.

“Ini kerana wajahnya sama seperti adik-beradik lain. Tiada perbezaan ketara antara mereka,” kata wanita itu.

Tidak lama selepas itu, wanita berkenaan menyedari terdapat sesuatu yang tidak kena dengan sijil kelahiran Kalen, lantas memutuskan untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Keputusan ujian itu membuktikan bahawa Dave ialah bapa kandung Kalen.

“Kalen ialah anak saya, tidak kira apa juga keputusan ujian DNA.

“Namun, saya tidak boleh memaafkan Dave dan saya telah memfailkan perceraian dengannya.

“Sekarang saya sedang berfikir bagaimana untuk memberitahu anak-anak mengenai perpisahan kami,” kongsi wanita itu di laman Reddit.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply