Gadis Tabah Hadap Derita Lumpuh Akibat Dihempap Konkrit | Kehidupan di dunia ini penuh dengan ujian tanpa mengira sesiapa pun sama ada orang itu kaya atau miskin tetap ada ujiannya. Setiap ujian yang dihadapi dalam kehidupan ini mampu menjadikan seorang insan itu lebih kuat dan tabah.

Gadis Tabah Hadap Derita Lumpuh Akibat Dihempap Konkrit

Sungai Petani: Berat ujian yang menimpa seorang gadis apabila kemalangan dihempap dinding konkrit hingga menyebabkannya lumpuh menjadi igauan ngeri seumur hidup bagi seorang gadis berusia 17 tahun yang tinggal bersama ibunya di Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal.

Selain terlantar, Aziana Shaari yang turut menghadapi masalah pendengaran kini perlu menerima hakikat apabila paru-paru, buah pinggang serta pundi kencingnya mengalami kerosakan.

Mengimbas kejadian tersebut ibunya, Fatimah Hashim, 49, berkata, kejadian kira-kira jam 10 pagi, lapan tahun lalu itu berlaku ketika Aziana berumur 9 tahun ingin mengambil buah mangga berdekatan lokasi kejadian sebelum tiba-tiba dinding konkrit dari sebuah rumah yang sedang dibaik pulih runtuh dan menimpa anaknya.

Menurut kenyataan ibunya, sejak kejadian yang menimpa anaknya itu, dia terlantar akibat lumpuh dari pinggang ke bawah. Bukan itu sahaja, anaknya itu juga memerlukan bantuan sepanjang masa untuk menguruskan diri kerana kakinya tidak mampu bergerak.

Kata ibu tunggal itu, dia terpaksa bekerja di dua kedai makan berbeza pada waktu siang dan malam dengan pendapatan antara RM50 dan RM75 sehari bagi menampung perbelanjaan keperluan untuk Aziana yang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1,000 sebulan bagi menyediakan lampin pakai buang, susu khas serta peralatan mencuci luka.

Katanya, dia bersyukur kerana menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan bagi membantu mereka.

“Aziana hanya boleh makan nasi sekali sehari selain dia kurangkan minum kerana bimbang kesannya setelah disahkan menghidap masalah buah pinggang,” katanya.

Menurut Fatimah, sebagai seorang ibu dia bangga kerana dalam situasi menahan kesakitan dan pergerakan yang terhad, Aziana masih mampu untuk menunaikan puasa Ramadan kali ini.

Sementara itu, penderitaan Aziana telah mendapat perhatian pasar raya Econsave yang menghulurkan sumbangan bernilai RM1,000 antaranya termasuk makanan kering, barangan dapur, peralatan elektrik serta susu khas yang diperlukan gadis itu.

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, sumbangan disampaikan melalui Dana Econsave Prihatin sempena Ramadan termasuk keperluan Fatimah dan Aziana seperti kipas angin, seterika dan pengisar.

“Kami berharap dengan pemberian ini dapat meringankan beban yang ditanggung sekaligus menceriakan mereka sempena Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, anak Fatimah yang lain iaitu Aziani, 18, yang sedang mengikuti pembelajaran di Kolej Vokasional Sungai Petani dan Azima, 19, yang baharu memulakan kerja di sebuah pasar raya berdekatan tinggal bersamanya.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Share.

Leave A Reply