Lima Sekeluarga Cemas Dua Jam Sesat Di Pulau Mawar | Keseronokan lima sekeluarga dalam melakukan aktiviti mendaki di Pulau Mawar, Tanjung Resang bertukar menjadi detik mencemaskan apabila mereka tersesat dan tidak menemui jalan keluar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Mohd. Alias Hussin berkata, kesemua mereka berusia antara 19 hingga 52 tahun itu datang ke pulau berkenaan kira-kira pada pukul 10 pagi.
Menurut beliau, mereka dikatakan idak dapat menemui jalan untuk keluar akibat keadaan air pasang yang berlaku di laluan pendakian pada waktu tengah hari sebelum mereka membuat panggilan kecemasan untuk meminta pertolongan.
Alias Hussin berkata, pihak bomba telah menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pada jam 2.35 petang sebelum pihaknya bergegas ke lokasi bersama sembilan anggota lainnya.
“Mangsa seramai lima orang terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita dewasa tersesat di Pulau Mawar disebabkan air pasang besar yang menyebabkan jalan ke pulau itu terputus,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, difahamkan keluarga itu sudah beberapa kali ke pulau berkenaan, namun ketika kejadian mereka tidak dapat mencari jalan keluar ekoran fenomena air pasang besar yang berlaku pada ketika itu.
Mohd. Alias berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan yang turut disertai penduduk setempat sejurus air surut.
Ujarnya, mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua mangsa kemudian dibawa keluar ke lokasi yang selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Kosmo