Penjaga Stor Ditemui Meninggal Dunia Di Dalam Tandas | Seorang penjaga stor ditemukan meninggal dunia di dalam tandas di Stesen Janakuasa Elektrik Tenaga Nasional Berhad di Paka, Dungun, Terengganu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kira-kira jam 9 malam mangsa, Abdul Raman Abu Bakar, 57, dilihat dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota polis bantuan Tuan Sharihairul Ami Tuan Hamzah, 37, yang ketika itu sedang mencari mangsa.
Katanya, isteri mangsa menghubungi anggota polis bantuan yang bekerja di situ dan meminta tolong mencari Abdul Rahman setelah ia tidak pulang ke rumah untuk makan tengah hari dan tidak menjawab panggilan telefon sehingga habis waktu bekerja iaitu pada pukul 7 malam.
Ketika Tuan Sharihairul Ami mencari mangsa di tandas dia mendapati satu pintu bilik tandas terkunci dan terdapat sepasang kaki melunjur keluar.
Tambahnya, dia (Tuan Sharihairul Ami) kemudian menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Baharudin berkata, mangsa kemudiannya berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
Katanya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Metro