Penduduk New York Adakan Tunjuk Perasaan Bantah Serangan Israel Terhadap Palestin | Setelah beberapa negara barat lain menunjukkan solidariti mereka terhadap rakyat Palestin dengan turun ke jalan raya bagi mengadakan tunjuk perasaan, kali ini penduduk New York juga dilihat turut serta turun ke jalan bagi mengadakan demonstrasi bagi membantah serangan yang telah dilakukan oleh tentera Zionis terhadap rakyat Palestin sehingga mengakibatkan kematian orang awam yang tidak berdosa.
Penduduk New York kini dilihat telah berhimpun di jalan-jalan raya di pusat bandar Manhattan sambil mengibarkan bendera Palestin serta memakai selempang “keffiyeh” ketika berhimpun di hadapan Konsulat Jeneral Israel di New York, baru-baru ini.
Terdapat beberapa sepanduk yang dibawa ketika perarakan tersebut antaranya “Berhenti bom kanak-kanak yang tidak bersalah“, “Bebaskan Palestin“, “Palestine will never die“, “Tamatkan semua bantuan AS kepada Israel” serta turut melaungkan “Dari sungai ke laut – Palestin akan bebas,” di hadapan bangunan konsult tersebut.
Bangunan menempatkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berada berdekatan dengan lokasi tunjuk perasaan turut dijaga beberapa anggota polis kerana berkemungkinan penunjuk perasaan akan menyerbu bangunan pertubuhan badan dunia itu.
Majlis PBB serta Duta Palestin untuk PBB Riyad Mansour kini dikritik hebat oleh masyarakat antarabangsa selepas mereka dilihat gagal mengadakan gencatan senjata terhadap serangan yang berlaku di Palestin.
Selepas mengadakan tiga kali mesyuarat, PBB sekali lagi dilihat gagal memainkan peranannya apabila negara yang menjadi pro kepada Israel, Amerika Syarikat terus menyekat sebarang pernyataan berhubung keganasan di Gaza.
Pertempuran kini sudah memasuki minggu kedua selepas tentera zionis Israel dilihat masih melakukan keganasan yang melampau terhadap penduduk Palestin di wilayah yang diduduki.
Sumber: Astro Awani