Lelaki Pencari Ketam Hilang, Tidak Pulang Sejak Jumaat Lalu | Kes orang sesat di hutan dan hilang ini bukanlah yang pertama terjadi di Malaysia. Beberapa kejadian mangsa yang hilang ketika mendaki bukit mahupun gunung pernah ‘menghantui’ negara kita. Bahkan, mungkin ada kes kehilangan yang masih segar dalam ingatan walaupun ianya sudah lama berlaku.
Iskandar Puteri: Seorang lelaki dilaporkan telah hilang ketika mencari ketam di kawasan paya bakau di Kampung Melayu Dapur Arang di sini, sejak 21 Mei lalu.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri menerima laporan mengenai kehilangan lelaki berusia 56 tahun berkenaan pada 5.37 petang semalam.
Menurut beliau, operasi mencari mangsa berkenaan telah diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin dan seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri turut menyertai bagi melakukan pencarian tersebut.
Sementara itu, katanya, siasatan mendapati mangsa, Zulkifli Amin yang berstatus bujang itu dan tinggal bersama anak saudaranya telah keluar dari rumah pada Jumaat yang lalu. Anak saudara mangsa kemudiannya telah membuat laporan berkenaan kejadian terbabit selepas khuatir dengan keselamatan mangsa selepas lelaki berkenaan masih lagi tidak pulang.
“Anak saudaranya menjangka mangsa yang keluar mencari ketam akan pulang ke rumah selepas sehari keluar.
“Apabila mangsa masih tidak pulang, anak saudaranya mengambil keputusan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengesan mangsa dilakukan di sekitar kawasan berkenaan serta dilakukan dengan bantuan dron.
“Operasi mencari mangsa diteruskan pada hari ini dan dibantu oleh Unit Anjiing Pengesan (K9) JBPM dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya.
Sumber: Harian Metro