Seorang Lelaki Cabut Atap Rumah Selepas Sah Bercerai. | Jakarta: Seorang lelaki bertindak mencabut atap rumah bekas isterinya sebagai persetujuan pembahagian harta sepencarian selepas disahkan bercerai.

Kompas melaporkan, kejadian berlaku di Kampung Carangrejo, Ponorogo, Jawa Timur apabila isteri bernama Anjar yang menjadi tenaga buruh asing di Hong Kong tiba-tiba meminta cerai dari suaminya, Agus selepas enam bulan di negara orang.

Sebaik sahaja disahkan bercerai, mereka berdua menemui kata sepakat mengenai cara hendak membahagikan harta sepencarian sepanjang berkahwin selama 10 tahun.

“Mereka bersetuju untuk Agus hanya mengambil kayu yang menjadi atap rumah mereka kerana itu adalah milik orang tuanya.

“Kerja mencabut atap dijalankan di rumah berkenaan tanpa diganggu struktur binaan lain kerana tanah adalah milik ibu bapa Anjar,” kata Setiausaha Desa Carangrejo, Juweni.

Juweni tidak mengetahui alasan di sebalik perceraian pasangan itu, namun mengakui Agus adalah suami yang baik malah menjaga kebajikan bapa mentuanya ketika Anjar bekerja di luar negara.

“Pihak pentadbiran desa cuma melaksanakan tugasan yang diamanahkan iaitu mencabut atap rumah seperti yang dipersetujui.

“Perkara lain, kami tidak mahu masuk campur kerana mereka berpisah dengan cara baik,” katanya. Difahamkan, rumah itu dibina dengan kos sekitar 400 juta rupiah (kira-kira RM115,000).

Sumber : Metro

Share.

Leave A Reply