Perahu Jadi ‘Bilik Darjah’ Cikgu Nasir Sepanjang Pelaksanaan PKP | Seperti yang kita sedia maklum, penularan Covid-19 di negara ini telah merebak ke merata tempat sehingga meragut nyawa seseorang. Namun, pada masa yang sama ia telah mengubah nasib ramai orang dengan wujudnya penularan ini. Mereka terpaksa hidup dalam norma baharu dimana perlu memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan tidak bersesak di tempat umum seperti dahulu.

Bukan itu sahaja, sesi pengajaran dan pembelajaran turut terjejas dan semua guru di negara ini terpaksa melakukan kelas ‘online’ sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Perahu Jadi 'Bilik Darjah' Cikgu Nasir Sepanjang Pelaksanaan PKP

Kinabatangan: Perahu menjadi ‘bilik darjah’ seorang guru di sini, bagi memastikan tiada muridnya tercicir dalam pelajaran ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dijalankan.

Nasir Mohamed Jamal, 39, seorang guru dI Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Permai turut menggunakan perahu itu untuk menghantar modul pembelajaran setiap minggu kepada murid.

Katanya, dia dan guru lain akan mengambil inisiatif sendiri untuk menghantar modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan perahu sekali atau dua kali seminggu.

“Ini kerana menjalankan PdPR menggunakan peranti adalah mustahil kerana kami tiada perkhidmatan jalur lebar (yang baik),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Berbekalkan sebuah beg mengandungi modul PdPR dan meja lipat, Nasir, yang mengajar mata pelajaran Sains, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan meninggalkan rumahnya ke perahu kayu beratap yang dikemudinya sendiri di Sungai Kinabatangan untuk ke rumah murid-muridnya.

Berikutan tiada jeti atau tempat turun dari perahu yang sesuai, beliau keluar dari perahunya dengan berhati-hati di kawasan cetek di tepi sungai dan menjemput muridnya di rumah berdekatan.

“Mari kita belajar hari ini macam biasa,” katanya kepada murid-murid dan akan mengimbas suhu badan, memberikan cecair pensanitasi tangan dan pelitup muka kepada muridnya sebelum sesi pembelajaran di dalam perahu dimulakan.

Sementara itu, Nasir yang berasal dari Padang Rengas, Perak dan sudah berkhidmat di sekolah itu sejak 10 tahun lalu, mengakui keadaan di kawasan pedalaman yang jauh berbeza di bandar mewujudkan perasaan tanggungjawab dalam dirinya serta lima guru lain di sekolah itu untuk mendidik dan memberi pendedahan kepada murid-murid mengenai realiti kehidupan di luar kampung mereka.

“Kami (guru-guru) akan menerangkan kepentingan untuk melanjutkan pelajaran kerana mereka ini boleh berjaya dan membawa perubahan kepada masyarakat sekeliling mereka,” katanya.

Sumber: Bernama

Share.

Leave A Reply