Tangki Kimia Pecah, Bahan Kimia Mengalir Ke Sungai |Sebuah tangki bersaiz 1,000 liter yang mengandungi bahan kimia di sebuah stor di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang, Kulai pecah dan mengakibatkan bahan itu mengalir ke sungai berhampiran, semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 malam.
Menurutnya, sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dengan sebuah utiliti pacuan empat roda Toyota Hilux dengan kekuatan seramai 21 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulai ke lokasi kejadian.
Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati terdapat tumpahan bahan kimia iaitu jenis Methyltriocdylam monium chloride, Hydrogen Peroxide Solution, N-Methyl Cyclohexylamine.
Katanya, tinjauan dan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian mendapati benar terdapat stor simpanan yang berkeluasan 24.3 meter x 24.3 meter berada tidak jauh dari lokasi yang dilaporkan.
Berikutan itu, pihaknya telah menyalurkan aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Jelasnya, terdapat 30 tangki yang mengandungi bahan alkali dan satu daripada tangki berkenaan pecah dan bahannya telah mengalir ke sungai yang berhampiran.
Menurutnya, setiap tangki mengandungi isi padu lebih kurang 1,000 liter,
Dua mangsa yang berada di lokasi berhampiran juga mengalami kesan seperti pening dan muntah dan pihak bomba telah membuat tiga lapisan benteng bagi menghalang bahan buangan berkenaan daripada terus mengalir ke dalam sungai.
Tambahnya, pengaliran bahan kimia itu berjaya dihentikan dan keadaan didapati selamat.
Oleh itu, pihaknya telah menamatkan operasi pada jam 2.33 awal pagi ini.
Sumber: Berita Harian