90 Peratus Atlet Malaysia Bebas Doping | Seramai 90 peratus atlet negara yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula 23 Julai ini, telah diuji dan kesemuanya didapati bebas daripada penggunaan bahan terlarang.
Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) Azura Abidin berkata, setakat ini seramai 27 daripada 30 atlet selesai menjalani ujian anti-doping sebelum bertolak ke Jepun, manakala bakinya dijangka menjalani ujian dalam masa terdekat.
Seorang daripadanya sedang menjalani kuarantin selepas pulang daripada kejohanan luar negara manakala ujian doping bagi dua lagi atlet yang berada di luar negara dilaksanakan oleh pihak Persekutuan Sukan Antarabangsa (IF).
Kesemua atlet yang layak wajib menjalani ujian doping sama ada di bawah NADO (National Anti-Doping Organisation) ataupun IF masing-masing. Kami mula melaksanakan ujian doping kepada atlet sejak Mei lepas. Berdasarkan penilaian risiko dan pelan agihan ujian Adamas, berpandukan International Standard for Testing and Investigations (ISTI) yang dikeluarkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).
Tambahnya lagi, dia turut mengingatkan para atlet bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa sahaja bahan yang diambil, sama ada cubaan untuk mengambil atau dijumpai di dalam sistem (tubuh) masing-masing.
Sekiranya terdapat barang terlarang atau metabolite dijumpai dalam spesimen mereka, atlet akan dipertanggungjawabkan dan terpulang kepada atlet tersebut bagaimana untuk membuktikan yang mereka tidak bersalah.
WADA telah memperkenalkan polisi ‘whistleblower’ yang memberikan hak kepada atlet sekiranya wujud unsur sabotaj atau aktiviti melibatkan gejala doping. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya risiko sabotaj terhadap atlet negara kita.
Polisi tersebut adalah untuk memberikan pendidikan kepada para atlet untuk melindungi diri mereka sendiri. Mereka mempunyai hak seperti keadilan untuk bertanding, kebebasan bersuara dan perlindungan hak peribadi.
Sekiranya terdapat atlet yang merasa terancam, mereka berhak untuk membuat laporan kepada Adamas dan secara tidak langsung, diri dan maklumat mereka selamat dan dirahsiakan mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 1971).
Adamas juga meneruskan program kesedaran dan pendidikan anti-doping secara maya di sebalik pandemik COVID-19 yang menyukarkan ia diadakan secara fizikal. Ia termasuk program Anti-Doping Education and Learning (ADEL), program outreach, serta pendidikan secara maya melibatkan ciri ubat berdaftar dan kesan sampingan pengambilan steroid.