Aplikasi ‘Kedahcare’ Mudahkan Penduduk Terjejas Mohon Bantuan | Seperti yang kita tahu, terdapat ramai masyarakat yang terjejas bekalan makanan serta keperluan asas mereka ekoran negara ini yang masih berperang dengan pandemik Covid-19. Hal ini kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlalu lama.
Bagaimanapun, kerajaan negeri Kedah akan memperkenalkan aplikasi yang dikenali sebagai ‘Kedahcare’ bagi memudahkan penduduk yang terjejas untuk memohon bantuan makanan dan keperluan asas mereka.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata aplikasi yang dibangunkan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kedah itu sudah diluluskan penggunaanya dalam mesyuarat kerajaan negeri, semalam.
Katanya, aplikasi ini akan menyediakan beberapa pilihan kepada penduduk di seluruh negeri memaklumkan keperluan mendesak mereka kepada agensi berkaitan.
“Maklumat yang sampai melalui ‘Kedahcare’ boleh dikongsi bersama beberapa agensi awam seperti Pejabat Menteri Besar, SUK, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ia akan membantu menyelaraskan bantuan kepada pihak yang membuat aduan secara segera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi penduduk yang tidak mempunyai capaian internet, mereka masih boleh menghubungi agensi berkaitan melalui panggilan telefon.
Sementara itu, Muhammad Sanusi meminta orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan Kedah beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurutnya, kadar insiden kes aktif harian Covid-19 di negeri ini bagi 100,000 penduduk mencatat 13.5 sedangkan nilai ambang yang ditetapkan kerajaan perlu berada di bawah 12.2 bagi membolehkan negeri masuk ke fasa dua PPN.
“Kapasiti wad unit rawatan rapi (ICU) di hospital juga kini 85 peratus dan kita perlu berada bawah 74 peratus iaitu mencapai tahap sederhana,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, jumlah penduduk yang melengkapkan dua dos vaksin sudah mencapai 13.8 peratus, melepasi had minimum 10 peratus.
Sumber: Berita Harian