Polis Tahan Pasangan Suami Isteri Buat Video Minum Racun | Pelbagai kejadian aneh yang berlaku semenjak negara ini berperang dengan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan. Hal ini kerana masyarakat berkemungkinan sudah bosan berada di rumah dan tidak boleh keluar kemana-mana melainkan ada perkara penting yang perlu diselesaikan.
Baru-baru ini tular sebuah video di media sosial mengenai pasangan suami isteri yang telah membuat rakaman video sedang minum racun. Sementara itu, pihak polis telah menahan satu pasangan suami isteri di Seremban bagi membantu siasatan selepas satu video tular di Facebook memaparkan perlakuan seorang lelaki yang kelihatan kecewa serta tertekan akibat penularan pandemik Covid-19.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, video berdurasi 16 minit tiga saat itu turut memaparkan perlakuan lelaki tersebut yang mendakwa memberi minum racun kepada isteri, anak serta dirinya sendiri sebagai salah satu cara untuk mengawal tekanan.
“Satu laporan polis telah diterima berkaitan video yang tular itu kerana boleh menjadi ikutan dan dorongan yang tidak baik dalam masyarakat dan unsur penganiayaan terhadap kanak-kanak.
“Hasil semakan lanjut mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Seremban,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Said, susulan laporan itu polis telah menahan pasangan suami isteri tersebut yang masing-masing berusia 29 tahun di sekitar Seremban.
“Suspek lelaki ditahan pada pukul 10.50 malam semalam manakala isterinya ditahan pada pukul 3.15 pagi tadi.
“Siasatan lanjut masih diteruskan, dan dalam video yang tular itu turut menunjukkan anak mereka yang berusia lebih kurang dua tahun,” katanya.
Jelas Mohd. Said, pihak polis menasihatkan masyarakat agar tidak mengambil apa-apa tindakan yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam kerana boleh diambil tindakan dibawah undang-undang
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Video yang tular di Facebook itu menunjukkan pasangan suami isteri dan anaknya berada dalam sebuah kereta melahirkan rasa tidak puas hati dengan keadaan semasa Covid-19 serta menunjukkan perlakuan mereka meminum cecair dari botol dipercayai racun dengan anak diberikan minuman sama menggunakan picagari.
Sumber: Kosmo