Jumlah Jemaah Solat Fardu Semua Masjid, Surau Di Melaka Ditambah

| July 14, 2021 | 0 Comments

Jumlah Jemaah Solat Fardu Semua Masjid, Surau Di Melaka Ditambah | Seperti yang kita sedia maklum, negara masih lagi sedang berperang dengan pandemik Covid-19 yang tidak tahu bila rantaiannya akan putus. Hal ini amatlah membimbangkan orang ramai ekoran kes yang semakin hari semakin meningkat. Jemaah di masjid dan surau setiap negeri juga telah mengehadkan jumlahnya bagi mengelakkan virus itu terus merebak.

Jumlah Jemaah Solat Fardu Semua Masjid, Surau Di Melaka Ditambah

Terbaru, jumlah jemaah di semua masjid dan surau di negeri Melaka untuk setiap solat fardu akan ditambah susulan permintaan umat Islam menerusi ahli jawatankuasa masjid masing-masing.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat, berkata kerajaan negeri menerusi keputusan mesyuarat EXCO hari ini menetapkan jumlah maksimum jemaah bagi masjid kerajaan, kariah serta institusi adalah 50 orang, manakala surau pula 20 orang.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding 12 jemaah sebelum ini di semua masjid dan surau di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah jemaah bagi solat Jumaat adalah kekal kepada 250 orang bagi masjid kerajaan, 100 orang (masjid kariah dan institusi) serta 50 orang (surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat).

Che Sukri turut menjelaskan, perubahan kepada ketetapan jumlah maksimum jemaah bagi solat fardu itu berkuatkuasa hari ini sehingga terdapat perubahan baharu yang akan ditentukan kelak.

“Sehubungan itu, seluruh jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini diminta mematuhi ketetapan baharu ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan menerusi Pekeliling JAIM Bilangan 11/2021 bertarikh 31 Mei lalu.

“Kebenaran pelaksanaan aktiviti boleh ditarik balik sekiranya pentadbiran masjid dan surau gagal mematuhi SOP yang ditetapkan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Che Sukri berkata, walaupun bilangan jemaah solat Jumaat dikekalkan, JAIM tetap menggalakkan semua masjid dan surau memperdengarkan bacaan Yasin dan doa menghindari Covid-19 yang dibacakan Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil sebelum khutbah dibaca oleh khatib bertugas.

Katanya, langkah itu bagi melengkapkan kesungguhan umat Islam untuk mendapatkan perlindungan Allah SWT daripada pandemik berkenaan.

Pada Mei lalu, JAIM meminta semua masjid dan surau di negeri ini memperdengarkan bacaan Yasin, al-Quran serta doa khas bagi memohon perlindungan daripada Covid-19 serta kesejahteraan rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis.

Alunan bacaan itu akan diperdengarkan menerusi alat siar raya masjid untuk membolehkan ahli kariah masjid serta surau turut serta dalam bacaan Yasin serta mengaminkan doa itu.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , ,

Category: AGAMA, INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *