Kemelut Politik PM? Ini Komen YB Ahmad Maslan Yang Ditunggu Ramai | Ekoran kemelut politik PM yang dikatakan kini tidak mempunyai majoriti? Ini komen terkini YB Ahmad Maslan yang ditunggu ramai.

KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL (PN) MENANTI REBAH

Jangka hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah berakhir apabila parti-parti luar daripada gabungan itu menolak kerjasama rentas parti yang ditawarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu tiada pilihan lagi selain meletakkan jawatan dengan segera tanpa menunggu keabsahannya ditentukan oleh Parlimen pada bulan depan.

Katanya, dengan peletakan jawatannya, ia akan membolehkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melaksanakan tanggungjawab mengikut Perkara 40 (2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

Menurut beliau, usaha kerjasama rentas parti politik yang diumumkan semalam merupakan satu tindakan yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini untuk mengekalkan kuasa yang ada.

“Apabila tawaran itu ditolak, Muhyiddin tidak mempunyai dahan lagi untuk berpaut dan perlu meletakkan jawatan secara terhormat bagi mengembalikan mandat rakyat kepada Perdana Menteri yang mempunyai sokongan yang cukup.

“Muhyiddin juga tidak berhak menyatakan pandangannya bahawa tiada siapa yang layak menjadi Perdana Menteri kerana soal pelantikan tersebut merupakan keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ziarah Kasih di Kampung Parit Gantong. Sanglang, di sini, hari ini.

Semalam, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti atau sokongan bi-partisan dengan parti-parti di luar PN termasuk menawarkan semua ahli Parlimen menerima peruntukan sama tanpa mengira parti politik dan ahli Parlimen pembangkang.

Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, Muhyiddin tidak perlu menggariskan pelbagai perkara bagi memastikan cadangan kerjasama rentas parti diterima kerana ia sesuatu yang tidak pratik untuk dilaksanakan.

“Kami (UMNO) menunggu sehari dua ini, apakah langkah yang akan dilakukan oleh Muhyiddin bagi melanjutkan usia jawatan Perdana Menteri yang kini telah berada di hujung tanduk,” ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya tidak fikir Muhyiddin hendak melanggar undang-undang secara terang-terangan walaupun tindakan beliau semalam boleh disifatkan sebagai tawaran berunsur rasuah di khalayak awam.

Ujar Ahmad, UMNO kekal dengan pendirian mahu mandat rakyat dikembalikan dalam menentukan kerajaan baharu yang akan dibentuk kerana kerajaan yang tidak stabil akan menimbulkan pelbagai persoalan setiap masa.

“Selagi tiada mandat baharu dari rakyat, keadaan seperti ini akan berterusan dan ini akan menyebabkan kedudukan Perdana Menteri sentiasa dicabar dan dipersoalkan oleh banyak pihak,” tegas beliau.

Sumber: Utusan Malaysia

Share.

Leave A Reply