Padah Pandu Kereta Atas Landasan Kereta Api, Pemandu Berdepan Hukuman Penjara 15 Bulan | Akibat memandu secara berbahaya, seorang lelaki bakal berhadapan hukuman selepas dia dikatakan telah memandu secara bahaya iaitu dengan memandu kenderaan pacuan 4 roda di atas landasan kereta api sehingga menyebabkan jadual perjalanan pengangkutan awam itu terjejas baru-baru ini.
Suspek dikenali sebagai Aaron O’Halloran, 31, dilaporkan telah memandu kenderaannya pada jam kira-kira 7.30 pagi menuju ke sebuah stesen kereta api di Birmingham.
Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV), ia menunjukkan suspek didapati memandu kenderaan Mitsubishi Shogun di atas landasan kereta api hampir satu kilometer sebelum bertindak meninggalkannya.
Setelah itu, pemeriksaan telah dijalankan oleh para pegawai kereta api sebelum mereka dikatakan menemui sebuah telefon bimbit di dalam kenderaan terbabit dipercayai milik suspek sehingga menyebabkan dia dapat dikesan dan didakwa di mahkamah kerana melakukan perbuatan tersebut.
Difahamkan bahawa mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan terhadap suspek serta dia juga tidak dibenarkan memandu selama 15 tahun setelah dibuktikan bersalah semasa perbicaraan tersebut.
O’Halloran dikatakan telah menafikan perbuatannya kepada pihak polis berkenaan membahayakan nyawa orang ramai yang menaiki kereta api, memandu secara haram serta memandu kenderaan tanpa insuran.
Berikutan perbuatan suspek yang dilihat tidak bermoral itu, dia telah menyebabkan jadual pengakutan awam terbabit telah ditangguhkan selama 8 jam dan menyebabkan kerugian sekurang-kurangnya, £23,000 (RM131,224) menurut laporan agensi berita.
Sumber: Sinar Harian