Wanita melahirkan anak sulung pada usia 70-an | Setelah berusaha hampir beberapa dekad, pasangan yang telah berkahwin selama 45 tahun akhirnya dianugerahkan seorang anak lelaki pada usia 70-an.

Seorang wanita berusia 70 tahun di Gujerat melahirkan bayi yang sihat di daerah Kutch, pada bulan lalu.

Jivuben Rabari dan suaminya Valjibhai Rabari, 75 yang berasal dari Kutch, menyambut anak pertama mereka, seorang anak lelaki bernama Lalo yang dilahirkan melalui pembedahan pada bulan lepas.

Walaupun proses itu memberikan cabaran besar bagi para doktor di Bhuj, namun keberanian dan tekad Jivuben memberikan semangat kepada para doktor untuk membuat yang terbaik, lapor The Times of India.

Pasangan itu, yang telah berkahwin selama 45 tahun, telah berusaha untuk mendapatkan bayi selama beberapa dekad lamanya dan akhirnya dianugerahkan anak yang pertama melalui kaedah In-Vitro Fertilisation (IVF).

Pakar Sakit Puan, Dr Naresh Bhanushali berkata, “Pada mulanya, kami menjadikan kitaran haidnya teratur dengan memberikan ubat oral. Kemudian kami melebarkan rahimnya yang telah mengecut disebabkan usianya yang sudah tua. Kami melakukan pembenihan pada telurnya dan mencipta blastocyst seterusnya memindahkannya ke dalam rahim.”

Doktor menjalankan sonografi selepas dua minggu dan terkejut melihat perkembangan janin seterusnya melakukan pemantauan yang berterusan. Mereka kemudiannya dapat mengesan degupan jantung yang normal dan tidak melihat sebarang kecacatan pada janin bagi meneruskan kehamilan.

Sumber: India Times

Share.

Leave A Reply