Bandar Arab Bakal Benarkan Minuman Keras? | Sebuah Bandaraya moden di Arab Saudi, NEOM dilaporkan tidak akan menolak kemungkinan untuk membenarkan penggunaan minuman keras, kata seorang pegawai kanan kepada AFP pada Rabu, menurut laporan Sinar Harian.
Jika kemungkinan tersebut menjadi kenyataan, ia mungkin menjadi titik perubahan untuk negara Islam yang amat konservatif.
Arab Saudi merupakan satu-satunya negara yang meletakkan ‘pengharaman penuh’ terhadap minuman beralkohol manakala negara-negara teluk yang lain hanya mengehadkan minuman tersebut kepada warga-warga asing yang mengunjungi negara mereka.
Difahamkan bahawa pakar-pakar kini menyatakan larangan tersebut telah menghalang lawatan dan minat untuk bekerja di negara beraja terbabit selain negara tersebut kini sedang melalui pembaharuan ekonomi dan sosial serta membuka negaranya kepada dunia luar.
Bandar raya NEOM yang dilaporkan bernilai hampir AS$500 bilion (RM2.07 trilion) dan dibina di tepi Laut Merah merupakan salah satu Visi 2030 yang dirancang oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman untuk mempelbagaikan ekonomi negara bagi mengelak penggantungan ke atas pengeksportan minyak.
Ia dikatakan akan beroperasi di bawah undang-undangnya yang tersendiri dan sedang dirangka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Tech and Digital Holding Company di NEOM, Joseph Bradley, ia tidak dapat mengesahkan kebenaran meminum minuman keras di bawah undang-undang baharu di bandar raya itu.
Namun, beliau memberitahu bahawa ‘setiap orang memahami’ keperluan untuk menarik kehadiran bakat-bakat asing dan pelancong ke Arab Saudi berikutan ramai yang menanyakan berkenaan adakah terdapat alkohol (di bandar raya NEOM).
Bradley turut menambah, bandar NEOM akan menggunakan robot dan teksi udara selain akan menyambut kedatangan penduduk dan bisnes menjelang tahun 2025.
Terdahulu, seorang pegawai Arab Saudi memberitahu AFP bahawa cadangan membenarkan penggunaan minuman alkohol dalam bentuk yang terhad di kawasan-kawasan tertentu atau hanya dikhaskan kepada warga asing sedang dipertimbangkan.
Sumber: Sinar Harian