UAE Labur AS$32.7b Di Indonesia | JAKARTA: Indonesia berjaya menerima pelaburan berjumlah AS$32.7 bilion (RM136 bilion) daripada syarikat dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) membabitkan pelbagai sektor termasuk pengedaran vaksin dan pembuatan.

Negara itu berjaya mendapatkan jumlah pelaburan itu, Khamis lalu selepas Presidennya Joko Widodo (Jokowi) melawat UAE bagi mengeratkan hubungan baiknya dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.

Menteri Luar, Retno Marsudi, berkata pelaburan itu membabitkan 19 perjanjian komitmen kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaburan Indonesia dan syarikat logistik multinasional yang berpangkalan di Dubai.

“Bagi kerjasama kerajaan dengan kerajaan, ia membabitkan 10 perjanjian,” kata Retno dalam taklimat media secara atas talian, Khamis lalu.

Beliau berkata, ia membabitkan perjanjian menggalakkan pelaburan, percukaian, kerjasama bank pusat, pelancongan serta pengurusan hutan bakau,” katanya.

Sehubungan itu, syarikat minyak gergasi milik kerajaan iaitu Pertamina dijangka menandatangani perjanjian mengenai panel solar terapung dengan syarikat tenaga boleh diperbaharui yang berpangkalan di Abu Dhabi, Masdar.

Selain itu, syarikat berkaitan kecerdasan buatan (AI) di Abu Dhabi iaitu G42 juga dijangka melabur dalam inisiatif bandar pintar, makmal telekomunikasi dan genom.

Sebelum ini, G42 melawat Indonesia pada September bagi bertemu rakan kongsi.

Indonesia dan UAE juga bersetuju untuk melancarkan rundingan membabitkan perjanjian perkongsian ekonomi komprehensif (CEPA) di mana Jokowi menjangkakan ia boleh dimuktamadkan seawal Mac tahun depan.

Rundingan CEPA adalah sebahagian daripada inisiatif agresif UAE untuk mengambil kesempatan membuka pasaran dalam perkembangan pesat ekonomi seperti di Korea Selatan, Kenya, Ethiopia dan Turki.

Dengan perjalanan antarabangsa dijangka pulih, kedua-dua negara bersetuju untuk saling mengiktiraf sijil vaksin COVID-19 selain memperkukuhkan koridor perjalanan yang dilaksanakan Julai tahun lalu.

Sementara itu, Reno berkata, Presiden dan Putera Mahkota turut membincangkan projek mega bagi pembinaan ibu kota baharu di Kalimantan Timur. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply