Jepun: 4 Maut Dalam Kebakaran Kilang Keropok Beras | Empat pekerja maut dalam kebakaran di kilang keropok beras di wilayan Niigata Jepun, kata polis menurut laporan Japan Times, baru-baru ini.
Empat pekerja maut dalam kebakaran di kilang keropok beras di Jepun, kata polis malam tadi.
Katanya, pasukan bomba bekerja keras sepanjang malam memadamkan api.
Kira-kira 30 pekerja berada di lokasi ketika kebakaran berlaku di kilang yang terletak di utara Niigata tengah malam tadi, lapor media tempatan.
Punca kebakaran masih belum diketahui.
Jelas jurucakap polis dalam satu kenyataan, mereka mengesahkan empat orang telah terbunuh akibat kebakaran tersebut.
Stesen penyiar awam, NHK melaporkan polis sedang mengesan dua lagi pekerja, sementara seorang lagi dihantar ke hospital berikutan terhidu asap tebal namun mangsa dalam keadaan sedar.
Sementara itu, seorang pegawai jabatan bomba tempatan memaklumkan, pasukannya berusaha memadamkan kebakaran yang kini memasuki lapan jam sejak kebakaran bermula.
Menurutnys, sebanyak 22 jentera bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran dan ketika ini anggota masih memadamkan kebakaran,” katanya.
Kilang dimiliki Sanko Seika, antara pengeluar keropok beras terbesar Jepun.
Insiden kebakaran hingga mengakibatkan kematian adalah kejadian luar biasa di Jepun, sebuah negara yang menguatkuasakan standard bangunan ketat di samping jenayah kekerasan jarang berlaku.
Pada Disember lalu, seramai 25 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah klinik kesihatan mental di Osaka.
Seorang bekas pesakit yang disyaki mencetuskan kebakaran itu meninggal dunia pada bulan sama sebelum polis menyoal siasatnya.
Sumber: Japan Times