Alor Setar: Biarpun sudah berkeluarga dan sibuk dengan tugasan harian sebagai anggota polis, Muhammad Firdaus Ahmad tetap setia menjaga bapanya yang menghidap angin ahmar sejak 12 tahun lalu.
Ibunya Rodziah Ishak, 51, dan enam adik masih berkemampuan untuk menjaga insan kesayangan itu.
Namun, Muhammad Firdaus, 31, yang menetap di Taman Gunung Bongsu, di sini enggan lepas tangan kerana sedar tanggungjawabnya sebagai anak sulung.
Bapa tiga anak itu berkata, apa yang dilakukan itu juga sudah menjadi rutin harian dan satu kelaziman demi memastikan kebajikan bapanya, Ahmad Noor, 59, terpelihara.
Dahulu, ayahnya sihat dan ceria orangnya, namun segalanya berubah selepas dia terjatuh dan mengalami strok di bahagian kanan badan.
Pada mulanya, dia boleh berjalan lagi namun lama kelamaan dia tidak kuat hingga terlantar.
Kini, dia perlukan orang sekeliling iaitu keluarganya untuk menguruskannya, kata Muhammad Firdaus.
“Adik-adik ada bergilir-gilir bantu emak menjaga ayah namun saya tidak boleh harapkan mereka saja.
“Jadi, saya berulang alik daripada tempat kerja dan rumah setiap hari memandangkan tinggal berasingan.
“Mujurlah isteri serta majikan faham kerana ada kalanya saya perlu mengambil cuti bagi menguruskan ayah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Muhammad Firdaus, bapanya menggunakan saluran tiub untuk minum dan hanya boleh bergerak dengan menggunakan kerusi roda.
Katanya, doktor turut memaklumkan bapanya mempunyai harapan untuk sembuh namun akan mengambil masa lama.
“Keadaan ayah menyebabkan dia tidak boleh makan dan hanya minum susu menggunakan saluran tiub.
“Sejak sakit, ayah juga tidak boleh bercakap, jadi kami sekeluarga perlu peka dengan keperluannya.
“Pada awalnya agak mencabar namun, kini saya sudah dapat sesuaikan diri,” katanya yang memberitahu ayahnya menjalani pemeriksaan kesihatan berkala di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Muhammad Firdaus berkongsi kisahnya di TikTok dan mendapat perhatian masyarakat yang menyifatkan ia sebagai inspirasi kepada orang ramai untuk menghargai dan menyayangi ibu bapa.
“Niat saya muat naik video itu adalah untuk meminta orang ramai doakan ayah supaya cepat sembuh, bukannya mahu meraih simpati.
“Alhamdulillah, ramai doakan ayah walaupun tidak mengenalinya dan saya sangat hargainya.
“Sebagai anak, saya akan terus menjaga ayah dan berharap mereka yang menonton video itu mengambil mesej positif supaya menjaga ibu bapa mereka selagi ada,” katanya.
Sumber: Harian Metro