“Uwais mula-mula berkerut, kemudian dia toleh beberapa kali,” itulah reaksi anak kepada Allahyarhamah Siti Sarah, Uwais Alqarni ketika pertama kali bertemu dengan ‘kembar’ ibunya dikenali sebagai Emy.
Mereka bertemu ketika majlis sambutan ulang tahun kelahiran datuknya, Raissuddin Hamzah, baru-baru ini.
Ibu tiri Siti Sarah, Siti Fatimah Suberi, 35, berkata, Uwais adalah orang yang ingin bertemu dengan Emy selain suaminya yang juga bapa kepada penyanyi lagu Kesetiaan itu.
“Saya tanya suami sama ada dia nak berjumpa dengan Emy atau tidak dan dia memang nak. Uwais pun meluahkan hasrat untuk berjumpa juga,” katanya.
Jadi, dia minta bantuan pekerjanya untuk menghubungi Emy.
Kebetulan, Ahad lalu, mereka diberikan rezeki untuk membawa Emy dari Melaka ke Kuala Lumpur.
Suaminya sangat terkejut dan berkata itu adalah hadiah paling bermakna buatnya sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-66.
Menurutnya, ia hadiah yang luar biasa dan dia sangat menghargainya.
Selain Uwais, dia juga mendengar reaksi daripada seorang lagi cucunya merangkap anak ketiga Sarah dan Shuib Sepahtu iaitu Ariq Matin.
Uwais menunjukkan video pertemuannya dengan Emy kepada Matin ketika sambutan ulang tahun kelahiran datuknya kerana hanya Uwais saja hadir.
Matin memberikan reaksi terkejut dan mengatakan bahawa wajah Emy mirip wajah ibunya.
Di majlis ringkas itu, Raissuddin turut menunjukkan beberapa foto lama Sarah ketika kanak-kanak kepada Emy.
Sambil itu, beliau turut mengimbau kenangan dan mengubat kerinduan kepada anaknya itu.
Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu akibat Covid-19.
Sumber: Harian Metro