Peniaga dan pengusaha kedai runcit di negeri ini umpama mendapat durian runtuh apabila jualan bagi bekalan air mineral di premis mereka dikatakan habis disapu pelanggan kurang sejam sejak petang semalam.
Tinjauan Kosmo! di sini hari ini mendapati rata-rata kedai runcit dan pasar raya sekitar Seberang Perai dilaporkan sudah kehabisan stok air minuman.
Ini ekoran masalah gangguan bekalan air terputus melibatkan seluruh daerah sejak pukul 1 tengah hari.
Seorang peniaga, Ang Meng Chang, 45 berkata, orang ramai mula menyerbu kedai runcitnya yang terletak di Bertam Indah, Kepala Batas dekat sini.
Menurutnya, orang ramai mulai datang ke kedai runcitnya sekitar pukul 1 tengah hari semalam.
Mereka memborong air mineral dalam kuantiti yang banyak tanpa mempedulikan pelanggan lain.
Katanya, memang ramai yang cari air mineral sejak semalam sampailah ke hari ini.
Malah, pagi ini juga masih ada pelanggan yang tanya air mineral, namun sudah habis stok.
“Tapi, nak buat macam mana..sebarang kemungkinan boleh berlaku meskipun situasi semalam memberi kesempatan kepada peniaga untuk menjana pendapatan lebih berbanding hari biasa,” katanya.
Beliau ditemui oleh pihak Kosmo! ketika berada di premisnya di sini hari ini.
Seorang lagi pembantu pasar raya mini, Nur Amylia Issak, 30, pula berkata, jika sebelum ini stok air mineral memakan masa hampir tiga hingga ke empat hari untuk dijual kepada pelanggan.
Namun, situasi semalam menyebabkan stok habis terjual dalam masa tidak sampai satu jam.
Katanya, situasi semalam memang mengejutkan, tapi mereka sudah bersedia dan keadaan di pasar raya adalah terkawal.
Dia berharap situasi ini tidak berlarutan kerana banyak kerja akan tergendala jika bekalan air tiada secara berterusan.
Nur Amylia sudah bekerja di kedai tersebut sejak dua tahun lalu.
Sumber: Kosmo