Polis telah menahan seorang pelancong tempatan yang berkelakuan tidak senonoh apabila aksinya telah tular di media sosial.
Lelaki itu didapati duduk di atas bumbung sebuah kereta pelbagai guna (MPV) di pulau pelancongan ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari telah memberi kenyataan berhubung kes ini di sini hari ini.
Katanya, lelaki 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 petang sebaik tiba di pekarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, di sini kelmarin.
Suspek telah direman bermula semalam selama tiga hari.
Siasatan lanjut dibuat di bawah Seksyen 21, Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.
Khamis lalu, akhbar ini melaporkan polis sedang mengesan lelaki terbabit sebaik sahaja menerima maklumat selepas insiden lelaki berkenaan duduk di atas bumbung Toyota Vellfire yang disewa.
Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dan rakan-rakannya merupakan pelancong tempatan yang berkunjung ke pulau berkenaan untuk bercuti.
Mereka telah keluar dari Pulau Langkawi ketika gambar-gambar aksinya tular di media sosial.
Gambar dikongsi pengguna media sosial memaparkan aksi lelaki tersebut yang ‘bersidai’ melalui sunroof sebuah kereta mewah berwarna putih.
Perbuatan itu mengundang kemarahan warganet terutama pengusaha kereta sewa kerana khuatir ia merosakkan struktur bumbung kenderaan terbabit.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, Polis Langkawi sedang mengesan pemandu kereta yang terlibat insiden dikejar sebuah kereta peronda polis di sekitar Kuah di sini malam tadi.
Shariman berkata, anggota peronda polis yang melakukan rondaan ternampak kereta jenis Honda Civic berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.
Polis mengarahkan kenderaan tersebut untuk berhenti, namun pemandunya enggan memberikan kerjasama.
Dia memecut laju menghala ke Kampung Padang Lalang, Kuah sebelum membuat pusingan di sekitar Kuah dan melarikan diri.
Menurutnya, kereta tersebut kemudiannya dikesan di hadapan sebuah sekolah di Kisap tanpa pemandu.
Kereta itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk pemeriksaan lanjut.
Siasatan awal mendapati pemilik berdaftar kenderaan tersebut telah menjual kereta tersebut.
Namun, pemilik itu belum menukar nama pada dokumen pendaftaran kenderaan.
Tambahnya, pembeli kereta tersebut sedang dalam tahanan polis sejak 17 Julai lalu dan disiasat di bawah Seksyen 39A (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes ini pula disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial dua klip video berdurasi 9 dan 20 saat dikongsikan di Langkawi Hari Ini (LHI) melalui laman Facebook.
Klip video itu menunjukkan aksi sebuah kereta Honda Civic sedang dikejar peronda polis.
Sumber: Utusan Malaysia