Mahkamah Persekutuan di sini dilaporkan telah menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan menyatakan demikian selepas peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik mengemukakan permohonan secara lisan untuk menangguhkan prosiding itu.
Semasa prosiding petang Selasa, Hisyam memohon agar prosiding rayuan akhir ditangguhkan sejurus mahkamah menolak permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan berhubung peranan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Sebelum media tempatan melaporkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon kepada Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa supaya rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya, ditangguhkan ke tarikh lain.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Najib berkata demikian sejurus mahkamah menolak permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan berhubung peranan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Menurutnya, rayuan akhir ini membabitkan 179 jilid dokumen yang mencecah sehingga 1,000 muka surat dan tidak termasuk keterangan saksi yang ramai.
Beliau berkata, biasanya tidak datang ke mahkamah untuk meminta penangguhan melainkan ada keperluan.
Katanya lagi, justeru kami memohon, diberikan peluang yang sewajarnya dan anak guam diberikan perlindungan sama rata, benarkan kami untuk kembali (ke mahkamah) dan berhujah (dalam rayuan akhir).
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V Sithambaram memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.
Katanya, mahkamah sudah menolak permohonan untuk menangguhkan rayuan akhir sebanyak dua kali di mana pembelaan juga sudah dimaklumkan ketika pengurusan kes bahawa ia akan tetap diteruskan mengikut tarikh yang dijadualkan sebelum ini.
Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Sumber: Sinar Harian