Sah PRU-15 Tahun Ini – DS Zahid Hamidi | Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengesahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan pada tahun ini juga.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, walaupun mendapat tentangan oleh pihak pembangkang yang menyifatkan akan berlakunya banjir, perkara itu tidak menjadi penghalang pihaknya.
“Kami sudah berjumpa dan selidik dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), jadi kita adakan PRU sebelum banjir.
“Ini juga berkemungkinan perjumpaan dengan semua ketua bahagian buat kali terakhir sebelum PRU-15 diadakan,” tegasnya ketika sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama semua ketua bahagian UMNO di sini hari ini.
Memetik Ulasan Terdahulu berkata-
Parti politik selain UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh mempengaruhi kuasa Perdana Menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan beliau mengenai pembubaran itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik lain.
Tegas beliau, perkara seumpama itu yang melibatkan tarikh pilihan raya tidak pernah berlaku dan dibincangkan secara terbuka oleh Perdana Menteri terdahulu.
“Dahulu apabila Perdana Menteri umum, bubarlah Parlimen. Mana ada parti politik lain beri pandangan dan campur tangan dari segi pembubaran.
“Bukan setakat itu, dahulu tiada perundingan dan perbincangan dengan parti lain. Tidak pernah cakap juga dalam media mengenai perbincangan secara terbuka tarikh pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi Idea Bina Negara (IBN) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Dalam pada itu, jelas Ismail Sabri, apa yang diperkatakan parti lain tidak boleh mengubah keputusan beliau membubarkan Parlimen.
“Namun, setiap cadangan dan pandangan itu saya akan tengok tetapi tidak boleh mempengaruhi kuasa untuk mencadangkan kepada YDPA untuk pembubaran.
“Perbincangan tarikh pembubaran Parlimen ketika pentadbiran Perdana Menteri terdahulu turut tidak pernah dibincang dengan partinya sendiri,” ujarnya.
Ditanya desas desus tarikh pembubaran Parlimen bakal dibuat sebelum pembentangan Bajet 2023, beliau meminta orang ramai hanya menunggu pengumuman rasmi nanti.
Sumber : Kosmo