Peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) di bawah Bajet 2023 sebanyak RM95 bilion merangkumi 7,165 projek pembangunan, merupakan tertinggi dalam sejarah negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Namun, Perdana Menteri berkata, kesemua itu hanya akan dapat dinikmati sekiranya Bajet 2023 dibentangkan semula dan diluluskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ismail Sabri menegaskan untuk rakyat untuk memilih kerajaan yang diterajui oleh beliau untuk mentadbir negara bagi penggal seterusnya.
“Bajet ini … untuk (proses) draf dan perbincangan sebelum pembentangan itu, itu adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Kita yang come out dengan bajet begini cantik.
“Tetapi kalau orang lain ambil alih, tak tahu apa dia nak buat. Tetapi kalau saya diberi peluang untuk membentuk kerajaan selepas ini, Insya-Allah. Bajet terbesar dalam sejarah ini akan dibentangkan semula dan diluluskan,” tambah Ismail Sabri dalam kenyataanya.
Kenyataan ini dibuat hari ini ketika merasmikan Konvensyen Kontraktor Bumiputera 2.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Perdana Menteri berkata, tohmahan pihak pembangkang yang mengatakan RM95 bilion itu hanya akan menguntungkan pihak konglomerat semata-mata itu dilihat sengaja.
“Dakwaan itu tidak berasas kerana peruntukan tersebut turut memberi limpahan ekonomi kepada kontraktor kelas rendah seperti G1 hingga G4.
“Dia lupa bahawa projek pembangunan kita yang luluskan bukan saja projek mega, iaitu sambungan dan projek baharu seperti Pan Bornoe dan sebagainya, adalah (juga) untuk kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak.” tambah beliau.
Ismail Sabri berkata, Bajet 2023 turut menyediakan peruntukan sebanyak RM500 juta khusus kepada kontraktor kelas G1 hingga G4.
Antaranya, bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bagi jalan persekutuan, titi dan jambatan kecil, rumah ibadat serta infrastruktur yang rosak akibat banjir.
“Sebanyak RM50 juta akan dikhususkan kepada kontraktor wanita menerusi inisiatif Kontraktornita bagi menyokong kontraktor wanita Bumiputera,” katanya lagi.
Namun Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan, kesemua itu akan hanya dinikmati sekiranya bajet 2023 dibentangkan kembali dan diluluskan selepas PRU15.