Seorang pengawal keselamatan Piala Dunia menemui ajal selepas terjatuh di Stadium Lusail dalam perlawanan suku akhir di antara Argentina dan Belanda, baru-baru ini.
John Njau Kibue diberikan rawatan kecemasan dan dibawa ke hospital berdekatan sebelum meninggal dunia dalam unit rawatan rapi (ICU), malam tadi.
Jawatankuasa Tertinggi Qatar mengesahkan kematian Kibue itu dalam satu kenyataan dan mengumumkan siasatan akan diadakan berhubung keadaan yang membawa kepada kematiannya.
Jelasnya dalam satu kenyataan, kami menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, rakan sekerja dan rakan-rakannya ketika tempoh sukar ini.
Difahamkan, penganjur menjadikan siasatan kejadian itu sebagai perkara paling mustahak dan sedia menawarkan maklumat lanjut sementara menunggu hasil siasatan.
Statement from the Supreme Committee for Delivery & Legacy. pic.twitter.com/WoSUpgdtbN
— SC News (@roadto2022news) December 14, 2022
Ujarnya, kami juga akan memastikan keluarganya menerima segala pampasan.
Kibue merupakan pekerja asing kedua yang meninggal dunia sejak kejohanan bermula selepas kematian seorang lelaki Filipina di sebuah resort yang digunakan oleh Arab Saudi di peringkat kumpulan.
Stadium Lusail akan menjadi tuan rumah perlawanan akhir di antara Argentina dan Perancis pada Ahad ini.
Sumber: Astro Awani
Ia susulan dikatakan seorang lelaki warga Filipina meninggal dunia di tempat latihan bola sepak Piala Dunia, yang dikaitkan dengan kontroversi layanan terhadap pekerja asing.
Nasser Al Khater, Ketua Eksekutif Piala Dunia 2022 di Doha, mengesahkan kepada Reuters bahawa seorang pekerja meninggal dunia, tanpa memberikan butiran terperinci dan menyatakan bahawa “kematian adalah lumrah kehidupan” sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Menurut Media Corp.SG menerusi portal The Athletic melaporkan pada Rabu (7 Dis), seorang lelaki Filipina dikatakan telah jatuh ketika memasang lampu di tempat meletak kereta di Sealine Resort, tapak latihan pasukan kebangsaan Saudi.
Dia meninggal dunia selepas “tergelincir dari tanjakan semasa berjalan di sebelah kenderaan dan kepalanya terhentak pada konkrit dahulu selepas terjatuh”.
Laporan itu, yang memetik beberapa sumber yang tidak dinamakan, menyatakan kemalangan itu berlaku semasa Piala Dunia namun tidak mendedahkan bila ia berlaku.
“Jika siasatan terbabit mendapati bahawa sistem protokol keselamatan tidak dipatuhi, syarikat tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang dan perlu membayar penalti dengan jumlah yang banyak,” kata seorang pegawai kerajaan Qatar dalam kenyataan kepada Reuters.
Pegawai tersebut turut memaklumkan, kadar kemalangan di tempat kerja semakin rendah secara konsisten di Qatar sejak sistem piawaian keselamatan diperkenalkan selain penguatkuasaan dipertingkatkan.
Qatar mendapat perhatian kumpulan-kumpulan hak asasi manusia sejak dianugerahkan hak penganjuran Piala Dunia pada 2010 berhubung layanannya terhadap pekerja imigran yang merupakan sebahagian besar penduduk negara Teluk Arab itu.
Penganjur Piala Dunia Qatar, Jawatankuasa Tertinggi bagi Penyampaian dan Warisan menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ia tidak terlibat dalam siasatan Qatar itu kerana mendiang bekerja sebagai kontraktor, bukan di bawah bidang kuasa SC.
Media Corp melaporkan menerusi The Guardian, pada tahun lalu, sekurang-kurangnya 6,500 pekerja asing – kebanyakan mereka bekerja dalam projek Piala Dunia – telah meninggal dunia di Qatar sejak ia memenangi hak untuk mengadakan acara terbabit menurut pengiraan akhbar itu daripada rekod rasmi.
Sebagai tindak balas, Qatar menyatakan bahawa jumlah kematian adalah bersekadar dengan saiz tenaga kerja asing, termasuk ramai pekerja bukan manual, sambil menambah bahawa setiap nyawa yang hilang adalah tragedi.