Seorang remaja lelaki didakwa sengaja merosakkan kamera litar tertutup CCTV di sebuah rumah bagi memudahkan operasi mencuri di Samarahan, Sarawak pada Isnin.
Kejadian itu difahamkan berlaku pada pukul 5.30 pagi ketika remaja berkenaan dilihat mengayuh basikal di hadapan rumah terbabit.
Tindakan mencurigakan suspek dikesan apabila remaja berbaju putih dan berseluar pendek itu mula memanjat ke arah kamera CCTV terbabit.
Selang beberapa minit kemudian, wajah lelaki tersebut terpampang jelas di layar kamera selepas suspek dilihat merosakkan kamera di rumah terbabit.
Dikongsikan di laman Facebook, rakaman itu menerima lebih 10,000 jumlah tontonan setakat ini.
Difahamkan, pencuri terbabit tidak sempat untuk mencuri dan pemilik rumah itu juga tidak mengalami sebarang kerugian ketika kejadian.
Namun, kegiatan itu nyata mengundang pelbagai persoalan dan spekulasi berhubung tindakan remaja tersebut yang dipercayai mempunyai niat jahat.
Johny Onny berpendapat, remaja itu perlu ditangkap segera sebelum dia datang semula keesokan harinya.
“Kantoi dah, harap dapat ditangkap segera remaja itu kalau dibiarkan mungkin dia akan datang semula keesokan harinya untuk merompak semula,” katanya.
“Kaki, tangan semua sempurna kenapa nak mencuri, usia masih muda tapi dah belajar mencuri, bila dah besar menyusahkan ibu bapa sahaja,” ujar Iman Amaroi.
“Kalau jumpa tampar terus muka budak itu, budak yang baik tak akan merosakkan harta orang, tangkap dia suruh bayar ganti rugi,” tambah Joheynes Easter.
Laporan polis telah dibuat susulan kejadian itu dan polis daerah Kota Samarahan sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
Suspek yang masih bebas kini dalam buruan polis.
Sumber: Majoriti
Baca Juga: 3 Sekumpulan Membuat Cubaan Merompak Guna Pistol Mainan
Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan pistol mainan di sebuah stesen minyak pada 12 November lalu.
Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh, Mohd Aliff Danish Abdullah, 24, Muhammad Iqmal Md Yusli, 22, dan Mohd Zamanizam Mat Hassan, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompakan ke atas individu berusia 24 tahun dengan bersenjatakan pistol mainan di sebuah stesen minyak di Kodiang, Kubang Pasu pada jam 4.15 pagi, 12 November lalu.
Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan disebat.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syifa Mohd Hamzah, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Nur Syifa kemudian mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ketiga-tiga tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan kesemua mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada 1 hari bulan setiap bulan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 29 Disember depan.
Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh gagal membayar wang jaminan menyebabkan mereka dibawa ke penjara.
Sebelum ini akhbar melaporkan mengenai penahanan tiga suspek yang bertindak melarikan diri dengan menggunakan kereta Proton Satria, selepas merompak sebuah stesen minyak di Kodiang menggunakan pistol mainan.
Penahanan ketiga-tiga mereka dilakukan di sekitar Jitra dan Changlun, hanya sehari selepas rompakan itu dilakukan.
Sumber: KMN