Pengarah sensasi Syamsul Yusof tetap akan memfailkan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebanyak RM10 juta seperti dimaklumkan sebelum ini.
Menurut laporan Harian Metro, pengarah berusia 38 tahun itu berkata, peguamnya telah menghantar surat saman kepada JAWI dan perkara tersebut sedang dalam proses.
Syamsul berkata, tindakan undang-undang itu adalah serius memandangkan dia mendakwa pihak JAWI tidak menjalankan tugas secara profesional.
“Mereka melakukan soal siasat terhadap Ira kira-kira dua bulan lalu iaitu ketika kami belum bernikah. Saya tidak akan dedahkan apa yang ada dalam kertas siasatan itu kerana ia menyalahi undang-undang.
“Namun, JAWI sendiri mendedahkan kertas siasatan itu sehingga dibaca oleh ibu saya. JAWI sudah melanggar undang-undang dan ia tak sepatutnya berlaku hingga menyebabkan keluarga saya berantakan ketika itu.
“Bukankah JAWI harus memelihara agama Islam, menjaga aib satu keluarga Islam? Macam mana ini boleh berlaku? Hanya di mahkamah nanti kita akan selesaikan perkara ini.
“Ramai yang tidak tahu apakah isu sebenar di antara saya dengan JAWI. Semuanya akan diselesaikan di mahkamah nanti,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan berbulan madu, Syamsul memaklumkan dia kini sedang fokus bagi menghasilkan filem terbaharunya The Original Gangster.
“Sekarang ini ada lebih 100 orang di bawah saya sedang bekerja dalam penggambaran filem terbaru saya, The Original Gangster. Ya, itulah ‘honeymoon’ (bulan madu) saya sekarang.
“Saya harus segera bekerja dan menyiapkan filem ini. Saya akan terus fokus kerana The Original Gangster adalah filem saya yang paling besar setakat ini.
“Ia lebih besar dari Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan dan semua filem Gangster lain yang pernah saya arahkan sebelum ini. Saya tak sabar untuk kembali ke set penggambaran,” ujarnya.
Terdahulu, dia mengumumkan sudah bernikah dengan isteri kedua iaitu Ira Kazar di Selatan Thailand dengan berwalikan bapa wanita berkenaan, Kazar Saisi yang juga seorang pelakon veteran.
Untuk rekod, Syamsul berkahwin dengan isteri pertama Puteri Sarah Liyana pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah.
Sumber: OMM
Baca Juga: Syamsul Yusof Nak Saman JAWI RM10 Juta
Pengarah filem, Syamsul Yusof, 38, akan memfailkan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebanyak RM10 juta kerana didakwa mengeluarkan satu kenyataan fitnah terhadapnya.
Syamsul menerusi kiriman suara berdurasi satu minit dan 59 saat yang dihantar menerusi WhatsApp berkata, tindakan itu diputuskan selepas berbincang dengan peguamnya mengenai perkara itu.
“Mereka (Jawi) sudah mengeluarkan satu kenyataan fitnah terhadap saya, fitnah tidak benar dan boleh dikatakan palsu kepada saya. Mereka sudah memberi maklumat tidak benar itu kepada ahli keluarga saya sedangkan maklumat itu sekali lagi tidak benar, palsu dan boleh dikatakan fitnah kepada ahli keluarga saya.
“Sedangkan, perkara itu juga adalah dokumen rasmi kerajaan. Saya anggap saya perlu ambil tindakan ini untuk menyaman Jawi sebanyak RM10 juta. Setakat ini, itu yang boleh saya katakan dulu,” katanya.
Bagaimanapun, Syamsul tidak mendedahkan apa kenyataan Jawi yang didakwa fitnah terhadapnya itu.
Menurut Syamsul, cukuplah dia berkongsi sebab untuk mengambil tindakan saman itu dan selebihnya akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Difahamkan, Syamsul kini berhadapan kemelut rumah tangga dengan isterinya juga pelakon Puteri Sarah, 37, atas dakwaan kehadiran ‘orang ketiga’ dikenali Ira Kazar yang dikatakan mengganggu rumah tangga mereka.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.
Sumber: KMN