Hanya ingin mengajak kekasih bermain permainan video bola sepak, itu alasan yang diberikan seorang pemuda ketika ditahan berkhalwat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Melaka (JAIM) di sebuah bilik hotel di daerah Melaka Tengah, awal pagi semalam.

Pasangan terbabit adalah antara tiga pasangan berusia 19 hingga 23 tahun yang dicekup penguat kuasa JAIM kerana berkhalwat dalam operasi di empat hotel bermula 11 malam kelmarin hingga 4 pagi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam serta risikan pihaknya.

“Pasangan berusia 23 tahun yang berasal dari Pahang itu mengambil masa 10 minit untuk membuka pintu bilik hotel selepas diketuk penguat kuasa JAIM ketika pemeriksaan 2.30 pagi.

“Ketika disoal siasat lelaki yang juga mekanik itu mengatakan ingin mengajak pasangannya bermain permainan video bola sepak sebelum kedua-duanya ditahan kerana berkurung di dalam bilik hotel hingga menimbulkan syak tanpa ikatan perkahwinan sah,” katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Che Sukri berkata, satu lagi pasangan penuntut universiti mendakwa datang dari Johor ke Melaka semata-mata ingin meraikan hari jadi sebelum mendaftar masuk ke hotel.

Katanya, semua pasangan itu ditahan mengikut peruntukan Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

“Tangkapan ini adalah hasil kerjasama Ahli Rakan Setiaku JAIM yang menyalurkan maklumat,” katanya.

Sumber : BuletinTv3

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Seorang Lelaki Dicekup Berkhalwat Dengan Janda, Bagi Alasan Tiada Air Di Rumah

Terputus bekalan air dan terpaksa menumpang di rumah kakak angkat. Itu alasan diberikan seorang duda ketika dicekup berkhalwat bersama janda yang memiliki 11 anak di Taman Maju, di sini, pada Ahad.

PEGAWAI penguatkuasa JAIM menjalankan soal siasat terhadap duda yang ditahan di Taman Maju. FOTO Ihsan JAIM

Bapa kepada dua anak berusia 35 tahun itu yang juga anggota pasukan keselamatan itu memberi alasan berkenaan bagi meraih simpati penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang melakukan serbuan.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pemeriksaan lanjut mendapati wanita berusia 46 tahun itu adalah tunangan orang yang bakal berkahwin kali ketiga pada April depan.

Menurutnya, lapan anggota Unit Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Jasin (PAIDJ) dan Ibu Pejabat JAIM terbabit operasi sekitar jam 3.20 pagi Ahad lalu.

“Anggota penguat kuasa terpaksa menunggu 15 minit sebelum pintu dibuka oleh seorang wanita. Ketika itu didapati lampu di bilik hadapan rumah teres itu masih bernyala.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua lelaki iaitu anak wanita itu berusia 16 tahun dan seorang duda di atas katil dalam bilik hadapan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di bilik belakang.

“Ketika ditanya anggota unit beruniform itu memberi alasan rumahnya tiada bekalan air dan terpaksa bermalam di rumah janda terbabit yang sudah dua kali bercerai sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Che Sukri berkata, siasatan awal mendapati duda terbabit bercerai pada Januari lalu dan berkawan dengan anak lelaki janda itu yang dijadikan sebagai kakak angkat.

Katanya, wanita yang tidak bekerja itu mempunyai 11 anak iaitu lapan anak hasil perkahwinan pertama dan tiga anak dengan suami kedua serta pernah ditangkap atas kesalahan berkhalwat dengan lelaki lain, dua tahun lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka bersekedudukan sejak setahun lalu dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.

“Sementara itu, anak wanita itu disiasat mengikut Seksyen 34 Enakmen sama kerana bersubahat,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu hasil kerjasama orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply