Pelajar Tingkatan 3 Diserang Strok Haba Akibat Aktiviti Larian Sekolah | KUANTAN – Gara-gara melakukan aktiviti larian dalam cuaca panas menyebabkan seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Pekan mengalami strok haba.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pelajar lelaki berusia 15 tahun itu didapati tidak sedarkan diri semasa melakukan aktiviti larian sejauh lebih empat kilometer.
“Pemeriksaan awal di Hospital Pekan mendapati pesakit telah mengalami simptom seperti suhu badan terlampau tinggi iaitu melebihi 39 darjah Celsius, degupan jantung meningkat serta percakapan dan fungsi otak terjejas.
“Pesakit telah diberi rawatan hidrasi dan rawatan ‘supportive,’” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pesakit yang dirujuk ke Hospital Pekan kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.
Beliau memberitahu pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAA dan keadaan semakin stabil.
Sementara itu Nor Azimi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan mengehadkan aktiviti di luar ketika cuaca panas.
“Gunakan pelindung diri dan sentiasa mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan serta sentiasa mengawasi gejala keletihan dan strok haba.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas,” ujarnya.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Kanak² 12 Tahun Korban Terbaharu Disyaki Strok Haba. | Kluang: Kanak-kanak lelaki 12 tahun di daerah ini meninggal dunia semalam selepas disyaki mengalami simptom strok haba.
Airiel Syahren Syahrol disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini kira-kira jam 7 pagi.
Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak kedua daripada empat beradik itu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau kira-kira 10 malam Ahad lalu.
Katanya, pada mulanya Airiel Syahren termasuk adik lelakinya berusia sembilan tahun dan ibu mereka mengalami demam biasa.
“Pada malam kejadian dia mengejutkan saya dan menyuruhnya tidur di ruang tamu mungkin kerana di bilik itu sejuk.
“Selepas itu saya dengar macam bunyi benda jatuh dan kemudian saya dapati dia mengalami kekejangan di ruang tamu,” katanya.
Menurut Syahrol, dia menghubungi talian 999 sebelum disambungkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
“Pihak hospital ada tanya, apakah anak saya ada sawan? Lagilah saya panik, tetapi pihak hospital beritahu supaya mengiringkan badan anak saya itu, jangan bagi dia makan atau minum dan tunggu ambulans sampai.
“Dalam tempoh itu, anak saya meronta-ronta sampai terberak, terkencing dan seperti menahan kesakitan. Adiknya juga mengalami perkara sama tetapi dalam beberapa minit sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bentong di sini.
Katanya, jam 7 pagi, dia mendapat panggilan daripada petugas HEBHK supaya membeli lampin pakai buang buat anaknya namun tidak lama kemudian dia mendapat panggilan kedua yang menyuruhnya segera datang ke wad.
“Ketika meninjau di katil anak, saya terkejut kerana anak saya sedang dipam di dadanya oleh kakitangan di situ.
“Kemudian dua orang doktor memanggil saya ke bilik mereka dan menerangkan anak saya mengalami simptom strok haba hingga menyebabkan buah pinggang terjejas, X-ray dadanya berwarna putih selain terkena radang otak,” katanya.
Katanya, tidak menyangka anak yang disifatkan sebagai pendiam, suka tersenyum dan ringan tulang membantu keluarga itu, pergi terlalu cepat.
“Jangan ambil mudah jika anak-anak anda mengalami demam, jangan fikir lagi soal ada duit atau tidak, segera hantar mereka mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.
Katanya, anak ketiganya, Aidil Syahren, 9, kini sudah stabil dan masih berada di wad HEBHK.
“Anak saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong selepas Zohor,” katanya.
Sumber : KMN