Tak Sempat Sambut Hari Raya Aidiladha, Lelaki Maut Semasa Pergi Beli Barang Dapur | KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang tukang kayu untuk membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha esok tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Jalan Paloh-Pulau Rusa berdekatan Jambatan Manir, Kuala Terengganu pagi tadi.
Terperosok Bawah Lori
Mangsa, Muhammad Fathihin Najmi Ruslan, 23 tahun, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Kedai Buluh ke pasar untuk membeli barangan dapur.
Dalam kejadian kira kira jam 8 pagi tadi, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar belakang sebuah lori rosak yang telah lama dibiarkan tersadai di situ.
Bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dikerahkan untuk mengeluarkan mangsa yang terperosok dibawah lori.
Mempunyai Seorang Isteri Dan Seorang Anak Perempuan
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Mangsa meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan berusia 2 tahun.
Sumber : BuletinTv3
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Lelaki Maut Motosikal Rempuh Belakang Pacuan Empat Roda
Lelaki Maut Dlm Kemalangan Motosikal Rempuh Belakang Pacuan Empat Roda | KOTA KINABALU – Ekoran merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda, seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian di Jalan Lintas dekat Puspakom hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.46 pagi itu, mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 25 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Terkejut mangsa rempuh dari belakang
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati ketika kemalangan, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu lelaki berusia 64 tahun dari Iramanis menuju ke Kota Marudu.
“Bagaimanapun, sejurus tiba di lampu isyarat Puspakom, Jalan Lintas, kenderaan terbabit berhenti di lorong tengah disebabkan lampu isyarat pada masa itu warna merah.
“Namun secara tiba-tiba datang sebuah motosikal Yamaha Y16Z6 ditunggang mangsa merempuh belakang kenderaan Mitsubishi Triton dari arah belakang menyebabkan mangsa bersama motosikalnya tercampak di atas jalan,” katanya ketika dihubungi.
Mohd. Zaidi berkata, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Mangsa pandu dengan laju
“Hasil semakan lanjut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada berdekatan lampu isyarat menunjukkan motosikal disyaki ditunggang dengan melulu dengan kelajuan yang tinggi pada masa kejadian hingga melanggar belakang kenderaan. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat,” katanya.
Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: KMN
BACA JUGA :
Anggota Polis Dirempuh Treler Ketika Bertugas Di Pos Pengawal
Anggota Polis Dirempuh Treler Ketika Bertugas Di Pos Pengawal | TAPAH – Seorang anggota polis cedera selepas sebuah treler membawa muatan barangan sukan merempuh pagar dan pos pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 1.20 pagi itu, mangsa, Lans Koperal Jovie Jihom, 23, cedera di bahagian muka dan tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, anggota terbabit sedang bertugas dan berada di dalam pos pengawal.
Treler hilang kawalan dan terbabas
Katanya, sebuah treler dipandu lelaki berusia 31 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke arah Ipoh hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh pos pengawal berkenaan.
“Rempuhan itu menyebabkan pos pengawal tersebut runtuh dan terdapat seorang anggota terperangkap di dalam runtuhan. Mangsa yang mengalami kecederaan di muka dan tangan dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Pemandu negatif dadah
Menurut beliau, pemandu treler yang cedera pada tangan kanan telah dibawa ke Bahagian Narkotik IPD Tapah untuk menjalani ujian saringan air kencing dan hasilnya didapati negatif daripada pengambilan barang terlarang.
“Permohonan reman ke atas pemandu treler itu akan dijalankan esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber: KMN