Baring Atas Ular. Ini Yang Terjadi Selepas Itu. | BAGAN SERAI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun melalui detik cemas apabila tanpa sedar ‘baring’ di atas seekor ular tedung dalam kejadian di Taman Serai Perdana, di sini pada Isnin.
Video berdurasi 19 saat yang tular di media sosial itu memaparkan ular berwarna hitam berada di bawah badan kanak-kanak itu dengan bahagian ekornya dipijak ketika berbaring di rumah pengasuhnya.
Difahamkan, pengasuh yang menyedari kehadiran reptilia itu memujuk kanak-kanak berkenaan tidak melakukan sebarang pergerakan sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, panggilan bantuan menangkap ular diterima pada jam 11.28 pagi.
“Semasa tiba di lokasi kejadian didapati kanak-kanak itu sedang berbaring dan menindih ular tedung yang panjangnya 0.4 meter.
“Anggota bertindak menangkap ular manakala seorang lagi anggota mengangkat mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Menurut beliau, pemeriksaan fizikal mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa dan diserahkan semula kepada pengasuh.
“Ular terbabit kemudiannya dilepas semula ke habitat asalnya yang jauh daripada penempatan penduduk,” katanya.
Sumber : SH
ARTIKEL LAIN UNTUK DI BACA
3 Sekeluarga Maut Dalam Kemalangan. | Dungun: “Saya sebak dan rebah sebaik menerima panggilan yang memaklumkan mereka maut dalam kemalangan itu,” kata Raja Hussin Raja Abdullah berhubung kemalangan maut yang menimpa ahli keluarganya di Kilometer 375.8, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Bukit Besi, semalam.
TERIMA PANGGILAN DARI ORANG AWAM
Raja Hussin, 60, dia menerima panggilan dari orang awam yang memaklumkan isterinya, Noreha Mohamed, 53, anaknya, Raja Nurhanani Nabila, 23, dan cucunya, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail, dua bulan maut dalam kemalangan itu.
“Saya terima panggilan jam 7.15 malam. Ketika itu, saya bersiap untuk solat Maghrib dan masuk bekerja syif malam sebelum dikejutkan dengan berita yang sangat menyedihkan itu.
“Saya minta tolong rakan bergegas ke tempat kejadian dan sungguh sedih bila melihat keadaan mayat isteri dan cucu bermandi darah,” katanya.
Katanya, tiga jam selepas itu, dia sekali lagi mendapat panggilan yang memaklumkan anaknya, Raja Norhanani pula meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu.
“Ketika kejadian, saya yang berkerja kontrak di Kawasan Industri Kerteh Kemaman berada di rumah sewa di Paka, Dungun.
HANTAR ANAK YANG BARU HABIS PANTANG
“Selain mereka, dua lagi anak saya, Raja Haikal Najmi, 20, yang memandu kereta dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 13, dalam perjalanan dari rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu Kelantan untuk ke Kem Batu 10, Kuantan.
“Mereka nak hantar Raja Nurhanani bersama bayi sulungnya yang baru habis pantang di kampung ke sana kerana suami Raja Nurhanani, adalah seorang tentera bertugas di sana,” katanya.
Raja Hussin berkata, dia menerima panggilan daripada isterinya yang memaklumkan untuk bertolak ke Kuantan dan dia sempat berpesan supaya berhati-hati sepanjang perjalanan itu.
NAK SINGGAH RUMAH SEWA SUAMI
“Isteri memaklumkan selepas menghantar anak dan cucu saya di Kuantan, dia dan anak yang lain akan singgah dan bermalam di rumah sewa saya di Paka.
“Dia nak singgah memandangkan kami sudah lama tidak bertemu dan kali terakhir pertemuan kami ialah pada Aidiladha lalu,” katanya.
Katanya, beberapa hari sebelum itu, dia ada menghubungi isterinya dan mengajak isterinya itu menghadiri suatu majlis kenduri perkahwinan di Kelantan pada bulan depan.
NAK PERGI TEMPAT YANG LEBIH JAUH
“Dia jawab tak nak pergi kerana dia (isteri) nak pergi berjalan ke tempat yang lebih jauh, saya tanya jauh tu di mana dan dia jawab sangat jauh tak boleh nak cerita.
“Saya tidak sangka perkataan pelik dari isteri itu membawa makna bahawa dia akan pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya,” katanya.
Laporan terdahulu melaporkan Tiga sekeluarga maut selepas kereta yang mereka naiki kemalangan di Kilometer 375.8, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Bukit Besi, di sini petang tadi.
Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, meninggal dunia bersama anaknya, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail, dua bulan, dan ibunya, Noreha Mohamed, 53.
Kemalangan itu turut menyebabkan dua adik Raja Nurhanani iaitu Raja Haikal Najmi, 20, dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 17, parah.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu, kira-kira 7.30 malam.
Katanya, lima sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan ke Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan untuk menghantar Raja Nurhanani dan anaknya pulang.
HILANG KAWALAN DAN TERBABAS
“Sebaik tiba di tempat kejadian, Proton Wira dipandu Raja Haikal Najmi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar kotak pembetung di kiri jalan sebelum terbalik.
“Pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dipanggil ke lokasi bagi mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya.
Menurutnya, Noreha dan Nik Muhammad Zayyan Irfan disahkan maut di tempat kejadian, manakala Raja Nurhanani Nabila meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Hulu Terengganu, 10.30 malam tadi.
“Dua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatansebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu,” katanya.
Menurutnya, mayat Noreha dan Nik Muhammad Zayyan Irfan dibedah siasat di Bilik Forensik Hospital Dungun, sementara Raja Norhanani di Bilik Forensik Hospital Kuala Berang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : HM