Ais Cair Dedah Mayat Pendaki Yg Hilang 40 Tahun Lalu. | Zurich: Polis mengesahkan satu mayat ditemukan pada glasier yang mencair di pergunungan Switzerland, adalah pendaki Jerman yang hilang sejak 1986.
HILANG SEJAK 40 TAHUN LALU
The Guardian melaporkan pendaki gunung itu hilang ketika menyeberangi glasier berhampiran Gunung Matterhorn hampir 40 tahun lalu, dan akhirnya mayat pendaki itu ditemukan di dalam ais yang mencair.
Dua pendaki menemui satu mayat pada 12 Julai lalu ketika mendaki di sepanjang Theodul Glacier di Zermatt, Valais, selatan Switzerland, kata polis pada Khamis.
Pencairan glasier mendedahkan mayat itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai pendaki Jerman.
Polis dari Kanton Valais dalam satu kenyataan berkata, analisis menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membawa kepada pengecaman identiti seorang pendaki gunung yang hilang sejak 1986.
DILAPORKAN HILANG TAHUN 1986
“Pada September 1986, seorang pendaki Jerman yang berusia 38 tahun pada masa itu, dilaporkan hilang selepas tidak pulang dari pendakian,” kata polis dalam satu kenyataan.
Polis bagaimanapun tidak memberikan maklumat tambahan mengenai identiti pendaki atau keadaan kematiannya.
Mereka hanya menerbitkan gambar tapak penemuan, but mendaki dengan tali merah melekat di salji.
Polis berkata, analisis forensik dijalankan ke atas mayat di Hospital Valais di bandar Sion, dan pakar mengaitkannya dengan kehilangan pendaki itu pada 1986.
300 ORANG DILAPORKAN HILANG
Sekurang-kurangnya 300 orang dilaporkan hilang di pergunungan Alps sepanjang abad lalu, menurut anggaran beberapa pihak.
Mayat beberapa orang yang hilang ditemukan ketika glasier mencair akibat krisis iklim.
Sembilan tahun lalu, mayat dua askar Austria yang terkorban semasa Perang Dunia Pertama ditemukan di pergunungan Alps Itali berhampiran bandar peranginan kecil, Peio, yang terkenal dengan aktiviti ski.
Tahun lalu, pakar merekodkan kadar kecairan paling teruk glasier di Switzerland sejak lebih seabad lalu.
Glasier kehilangan enam peratus daripada jumlahnya iaitu hampir dua kali ganda daripada rekod sebelumnya pada 2003.
Glasier Switzerland kehilangan separuh jumlahnya antara 1931 dan 2016, dan 12 peratus lagi antara 2016 dan 2021, menurut satu kajian yang diterbitkan pada 2022.
Sumber : HM
ARTIKEL LAIN UNTUK DI BACA
‘Viral’ Video Pendaki Rakam Lembaga Putih ‘Terpacak’ Atas Gunung | Tular di media sosial Indonesia mengenai video seorang pendaki yang dikejutkan dengan penemuan satu lembaga putih mirip seperti kuntilanak, lapor laman berita Taman Pendidikan.
Berdasarkan laporan laman berita tersebut, pendaki tersebut difahamkan sedang mendaki ke puncak tertinggi Gunung Salak di Indonesia sebelum berjumpa dengan kelibat berkenaan.
Sewaktu di tengah perjalanan pendakian, pendaki itu telah dikejutkan dengan penemuan tersebut sehingga menyebabkannya seram sejuk.
Video rakaman pendaki tersebut telah menjadi tular selepas ia dikongsikan oleh akaun Instagram @pendakibansel.
Berdasarkan rakaman video berkenaan, sosok berwarna putih seakan kuntilanak telah terakam kamera pendaki tersebut.
Walaupun pendakian dibuat pada siang hari, namun jika seseorang menemui sosok tersebut di tengah-tengah hutan yang tebal pasti ianya akan mendatangkan rasa seram sejuk.
Penemuan yang menakutkan itu berjaya dirakam pendaki dari jauh. Walaupun sudah dibesarkan berulang kali, sosok putih yang disyaki kuntilanak itu tidak dapat dirakam dengan jelas.
Ramai netizen yang menonton video pendek itu juga terkejut dan seram sejuk sewaktu melihat sosok putih berkenaan.
Pengguna media sosial yang menonton video itu turut meninggalkan komen mereka berkenaan kejadian seram tersebut.
Seorang pengguna menulis, “Saya orang asli yang tinggal di bawah kaki Gunung Salak. Saya suka mendengar cerita nenek-nenek yang masa zaman penjajahan dan cerita mistik tentang Gunung Salak.”
“Jangan sesekali naik Gunung Salak kalau setakat mahu buktikan cakap-cakap atau video macam ini, cukup tahu sahaja jangan cuba ambil tahu,” tulis seorang lagi.
Tulis seorang pengguna yang mempunyai pengalaman ke Gunung Salak tersebut bahawa, “Saya pernah. Tapi saya terus berputus asa. Saya melepasi laluan di mana kejadian pesawat terhempas. Masih ada garisan polis di kawasan itu. Suasana sangat berbeza di sana.”
Sumber: Siakap Keli