13 Tempat Menarik Untuk Percutian Di Kuala Terengganu | Kuala Terengganu miliki tempat yang  cantik, budaya menarik, itulah kata-kata yang digunakan untuk menggambarkan sebuah kawasan yang berada di pantai timur, Terengganu Darul Iman. Pulau-pulaunya, pantai – pantai yang indah – indah belaka, memang tak akan habis berjalan kalau datang beberapa hari sahaja.

Destinasi ini bukan sahaja kaya dengan hasil laut, malahan ianya sebuah lokasi  pelancongan yang cukup lengkap sekali pakejnya, berbeza dengan negeri – negeri lain di Malaysia. Yang syoknya lagi, di sini anda dapat melihat macam – macam gaya hasil seni fabrik warisan kebangsaan, mana taknya, di negeri inilah batik dan sutera banyak dihasilkan.

Nak tahu dimana lokasi – lokasi menarik di kawasan ini? Teruskan membaca senarai 13 tempat menarik di kawasan ini.

1. Pantai Batu Buruk

Terletak di Bandar Kuala Terengganu. Pantai Batu Buruk ini sangat terkenal dengan kemeriahannya. Di sekitar pantai ini juga punyai banyak tempat makan bukan sahaja restoran makanan segera, malahan masakan enak hasil laut Terengganu juga banyak.

2. Jambatan Angkat Kuala Terengganu

Salah satu tarikan utama dan kini menjadi mercu ikonik negeri Terengganu, Jambatan Angkat Kuala Terengganu menjadi satu tempat wajib singgah jika anda ke negeri ini. Tujuan pembinaan jambatan ini adalah untuk merentasi Sungai Terengganu di samping menambah jambatan sedia ada bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

3. Kompleks Kraf Noor Arfa

Kompleks Kraf Noor Arfa ini miliki reka bentuk tradisional Terengganu. Sebuah lokasi yang perlu anda lawati untuk kenali dan lihat dengan lebih dekat lagi keindahan dan keunikan seni batik di Malaysia. Yang menariknya lagi, anda boleh membeli secara borong batik – batik di sini. Terdapat juga kraftangan lain yang dipamerkan di sini seperti anyaman, ukiran kaca dan wau.

4. Pusat Budaya Kraf Terengganu

Berada di tempat Perindustrian Chendering, di sini anda bersama keluarga dapat kenal dengan lebih dekat hasil kraftangan Terengganu seperti ukiran kayu, produk tembaga, pembuatan songket, sarong, sutera dan banyak lagi. Anda boleh juga membuat tempahan khas produk kraf tangan mengikut cita rasa anda sendiri. 

5. Bazar Warisan

Berdekatan dengan Pasar Payang di Jalan Sultan Zainal Abidin ini adalah sebuah bangunan yang memiliki reka bentuk tradisional Terengganu. Bazar Warisan mengumpulkan banyak kraftangan dan seni tradisional Terengganu seperti tembaga, songket, batik dan sutera.

6. Kampung Losong

Terletak hanya 10 minit perjalanan dari Bandar Kuala Terengganu adalah Kampung Losong. Kampung Losong ini terkenal sebagai lokasi pilihan ramai untuk membeli makanan tradisional Terengganu yang tak lain tak bukan keropok lekor. Di sini memang banyak sekali pilihan gerai keropok lekor yang semuanya memang sedap – sedap belaka.

7. Pasar Besar Kedai Payang

Sebuah pasar yang setaraf pasar seni kalau di Kuala Lumpur ini amat terkenal dalam kalangan pelancong. Kalau anda nak membawa pulang buah tangan hasil Terengganu datang lah ke Pasar Besar Kedai Payang. Terdapat banyak jenis produk yang dijual di sini seperti sutera, songket, batik, periuk belanga, makanan hasil laut Terengganu seperti keropok, rempah nasi dagang ikan masin dan banyak lagi.

8. Pusat Sains Kreativiti Terengganu

Tercari-cari barangan cenderamata yang ingin dibawa pulang dari Terengganu? Singgahlah datang ke Wanisma Craft & Trading. Pusat perniagaan dan penghasilan kraftangan ini adalah sebuah perusahaan milik Wan Mahadi bin Ismail sejak dari tahun 1980-an lagi. Untuk pengetahuan anda, Wanisma Craft & Trading adalah salah satu lokasi yang sering dilawati pelancong luar negara juga tau.

9. Taman Awam Lagun Kuala Ibai

Pernah dengar tentang Masjid Terapung? Di sinilah terletaknya masjid itu. Taman ini terletak di teluk Sungai Ibai yang memiliki banyak aliran sungai yang menjadi tarikan bagi kaki pancing. Untuk bermandi-manda juga ini merupakan lokasi yang agak selamat, apa lagi yang difikirkan, bawalah anak-anak anda ke sini.

10. Taman Tamadun Islam

Destinasi yang wajib dilawati di mana anda dapat melihat rekaan bangunan yang terkenal dalam dunia Islam. Taman Tamadun Islam menampilkan 21 replika bangunan yang dibina disini seperti Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Kubah As Sakhrah, Kota Lama Islam Aleppo, Istana Alhambra dan banyak lagi.

11. River Cruise TTI

Salah satu aktiviti yang boleh dibuat di Taman Tamadun Islam adalah menyusuri sungai di Pulau Wan Man. Dengan menaiki bot, anda dapat nikmati pemandangan indah termasuk Masjid Kristal dan Taj Mahal dari sudut yang indah sekali. Masa yang diambil dalam perjalanan menaiki bot cruising ini adalah sekitar 45 minit. 

12. Masjid Kristal

Masjid yang berada di Pulau Wan Man ini memakan bajet sekitar RM23 juta untuk dibina menggunakan hanya besi, kristal dan kaca. Sesuai dengan bajet yang dikeluarkan, masjid ini miliki reka bentuk yang unik yang terkenal di seluruh dunia. Waktu terbaik untuk ambil gambar masjid ini adalah pada waktu matahari terbenam kerana cahaya yang cantik pada waktu itu akan terpancar pada sekeliling masjid ini

13. Masjid Abidin (Masjid Putih)

Masjid Abidin yang juga digelar sebagai Masjid Besar atau Masjid Putih ini adalah masjid yang tertua di Terengganu yang mula dibina pada tahun 1793 oleh Sultan Zainal Abidin II. Bangunan yang asalnya daripada kayu ini telah diubah kepada bangunan batu pada tahun 1852 yang lalu.

 

Akhir kata, sampai sini sahaja senarai tempat menarik di Kuala Terengganu ini. Diharapkan agar dengan senarai 13 tempat menarik di Kuala Terengganu ini, dapat sedikit sebanyak membantu anda dalam membuat perancangan. Semoga anda mendapat sebuah percutian yang penuh makna di Terengganu nanti. Jangan lupa tempah hotel dahulu di Booking.com sebelum tiba. Tunggu apa lagi, moh kita ke Terengganu!

Share.

Leave A Reply