‘Abang Pergilah Mama Reda..’ Ibu Tabah Atas Pemergian Anak | Hati ibu mana yang sanggup melihat anaknya diuji dengan penyakit yang mencabar. Bahkan seorang ibu sanggup dan tabah  berjaga setiap malam unuk menjaga anaknya supaya tidak menangis pada malam hari.

'Abang Pergilah Mama Reda..' Ibu Tabah Atas Pemergian Anak

Kota Bharu: “Abang pergilah, mama reda. Mama tak kuat tengok abang dalam keadaan begini,” kata seorang ibu kepada anaknya yang menghidap barah hati, Nurul Asyikin Razak sebelum anak lelakinya dijemput ilahi pada jam 10.30 malam kelmarin.

Nurul Asyikin, 32, berkata, beberapa minit selepas kata-kata itu dibisikkan di telinga Putra Airell Asraq Mohd Aqimie, 8, anaknya itu terus menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dalam pada itu, Putra Airell Asraq Mohd Aqimie telah disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Nurul Asyikin berkata, dia tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang semakin lemah dan juga tidak sedarkan diri. Malah sejak seminggu yang lalu, otak Putra Airell Asraq telah disahkan lumpuh dan keadaannya hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Kata Nurul Asyikin, anaknya itu telah dimasukkan ke wad di HUSM sejak 1 April lalu kerana chemo port di dadanya membengkak serta bernanah. Sejurus itu, anaknya terus dipantau di wad sehinggalah tahap kesihatannya semakin menurun.

“Putra Airell Asraq bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan minggu lalu kami dimaklumkan doktor otaknya sudah lumpuh dan diminta bersedia berdepan semua kemungkinan.

“Sejak keadaan Putra Airell Asraq kritikal, saya tidak pernah tinggalkannya dalam tempoh lama. Alhamdulillah dia pergi dengan tenang,” katanya ditemui di rumah ibunya di Kok Lanas di sini, semalam.

Jelasnya lagi, dia telah meminta pihak hospital beberapa hari lalu untuk membenarkan dua lagi anaknya, Putra Aqeef Asraq, 4, serta Putra Ariq Aisy Asraq, 7, dapat bertemu abang mereka dan permohonan itu telah pun diluluskan.

“Sebaik abang ngah (Putra Ariq Aisy Asraq) pegang tangan Putra Airell Asraq dan memberitahu mereka datang menziarah, dalam keadaan koma, air mata Putra Airell Asraq berlinang dan pertemuan itu kali terakhir antara mereka tiga beradik,” katanya.

Nurul Asyikin bersyukur kerana sempat menunaikan banyak permintaan Putra Airell Asraq termasuk ingin bertemu dengan idolanya, Ustaz Ebit Lew yang datang menziarah di wad walaupun ketika itu anaknya tidak sedarkan diri.

Jenazah Putra Airell Asraq disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kalong di sini pada jam 10.15 pagi, semalam.

Namun, apa yang lebih menyeduhkan, kisah anak syurga itu mengundang pilu dalam kalangan pembaca berikutan keengganannya dijemput Ilahi kerana ingin menjaga kedua ibu bapanya.

Putra Airell Asraq yang membahasakan dirinya sebagai abang menjalani pembedahan membuang sebahagian hati diserang sel barah pada 2016 namun sel itu kembali menyerang penghujung tahun lalu.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply