Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ProRakyat) semalam mengemukakan Resolusi Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memohon kerajaan membenarkan tuntutan pengeluaran simpanan KWSP antara RM10,000 hingga RM30,000 secara ‘one-off’.
Resolusi yang disampaikan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin itu, menurut ProRakyat, adalah sebagai langkah jangka pendek boleh dipertimbangkan kerajaan untuk memastikan rakyat tidak terputus wang tunai.
Kepada tuntutan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, menjelaskan kerajaan perlu mempertimbangkan nasib dan masa depan pencarum sebelum membenarkan pengeluaran sekali lagi simpanan daripada KWSP.
Perdana Menteri berkata, adalah lebih baik kerajaan mencari jalan dan kaedah lain yang lebih berkesan dalam membantu rakyat yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan sebelum ini.
“Kalau kita tengok orang yang ada simpanan KWSP ini, duitnya sedikit sekali. Jadi saya perlu timbang di antara keperluan mendesak dan masa depan mereka.
“Saya periksa jumlah (simpanan KWSP) yang majoriti pencarum ada, jumlahnya sangat kecil. Jadi, saya bimbang masa depan mereka, lebih baik kerajaan cari jalan lain untuk bantu mereka,” katanya ketika ditemui di sini.
Anwar sebelum itu hadir Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Persekutuan dan Negeri Perlis di Dewan 2020.
Terdahulu pada 11 Januari lalu, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) memeterai usaha sama dengan Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) bagi menyokong Tuntutan Pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar.
Menurut pertubuhan berkenaan, melalui kes-kes dan aduan-aduan diterima mereka, masalah hutang tertunggak, kesusahan dan taraf ekonomi rakyat yang teruk adalah sangat tinggi terutama di era pasca pandemik.
Sumber : Buletin TV3
ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA
Ada Bekas PM, Bekas Menteri Kewangan Punggah Kekayaan Berbilion – Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan akan menamatkan amalan rasuah yang didakwanya menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai “kesempatan untuk memunggah kekayaan.”
Walaupun Anwar tidak menyentuh secara langsung pentadbiran atau nama orang yang dimaksudkannya namun dia menyebut pihak itu sebagai “pernah menjadi menteri kewangan” dan “bekas perdana menteri.”
Kata Anwar, ini sebagai maklum balas terhadap “serangan” yang mengatakan seolah-olah pimpinan dalam kerajaan hari ini terpalit dalam hal-hal yang sedemikian.
“Saya nak sebut bahawa sikap kita jelas negara ini negara hukum, badan penguatkuasaan diberi kuasa sepenuhnya untuk memantau,” katanya ketika memberi amanat khas pada majlis munajat ambang tahun baru 2023 di Masjid Putra di Putrajaya malam Sabtu.
Anwar berkata pentadbirannya akan meneruskan budaya kesederhanaan, jangan ada pembaziran, memantau semua GLC dan perbelanjaannya.
“Tetapi saya nak nasihat juga rakan-rakan saya yang lain, yang bercakap soal bersih dan hari-hari, saban hari menyerang beberapa tokoh dalam kerajaan perpaduan.
“Apatah lagi orang-orang yang pernah menjadi menteri kewangan, perdana menteri yang tatkala mereka berkuasa itu bukan dipungahnya ratusan juta ringgit, bilion ringgit dipunggah.
“Jadi saya nak nasihatkan bahawa kerajaan ini akan pastikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana yang dipunggah itu dipulangkan semula kepada rakyat. Ini bukan kecil jumlahnya,” kata Anwar tanpa memperincikan dakwaannya.
Untuk rekod, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berdepan perbicaraan atas pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.
“Tapi kalau berterusan tentunya saya akan ambil tindakan,” tegasnya.
Perdana menteri berkata negara akan selamat, terangkat martabat serta harkatnya jika semua pihak mempunyai tekad untuk menghentikan amalan salah guna kuasa dan rasuah.
“Maka badan penguatkuasaan harus juga memikirkan bagaimana helah dan cara supaya jangan rakyat miskin tapi terpukau dengan janji dan slogan kononnya bersih, padahal diselaput dengan ratusan juta kekayaan yang dipunggah daripada mereka.
“Saya sebut hal ini, bahawa ni adalah tugas bersama.
“Ini bukan soal politik kepartian, ini tugas umat rakyat Malaysia kalau nak jamin negara ini selamat,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah tinggi telah membebaskan Zahid daripada satu lagi perbicaraan melibatkan 33 pertuduhan kes rasuah sistem visa asing (VLN).
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) antara yang lantang mengkritik pentadbiran Anwar.
Perdana menteri juga mengulas apabila ada yang mengatakan kepadanya bahawa perkara “yang lalu biar berlalu.”
“Saudara kalau ada kesan peribadi kepada saya, saya boleh maafkan, malah saya telah maafkan.
Sumber : KMN