Akhirnya Janna Nick Tampil Mohon Maaf Isu Ustaz Wadi. | KUALA LUMPUR – Pelakon Janna Nick mengakui kekhilafannya apabila menjemput pendakwah popular, Ustaz Mohamad Wadi Annuar atau popular dengan panggilan Ustaz Wadi ke majlis perkahwinannya bersama Dini Schatzmann, minggu lalu.

Janna nick

 

JANNA NICK TERLEPAS PANDANG

Kata Janna, dia terlepas pandang mengenai aspek penganjuran majlis resepsi yang kurang sesuai dihadiri tokoh agamawan seperti Ustaz Wadi.

“Tujuan saya menjemput Ustaz Wadi kerana malam sebelum hari pernikahan, kami minta beliau mengetuai majlis doa selamat dan bacaan Yassin.

“Malam itu juga, beliau ada menyampaikan ceramah berkaitan kehidupan berumah tangga.

“Saya minta maaf, saya sedar itu merupakan kelalaian dan kesalahan dari pihak saya (kerana) majlis itu tidak sesuai dengan beliau,” katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Jemputan Ke Neraka pada Isnin.

 

JANNA NICK MINTA JANGAN PANJANGKAN ISU

Pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu juga meminta agar orang ramai berhenti memperkatakan isu berkenaan apatah lagi selepas Ustaz Wadi sendiri sudah memberi penjelasan di pihaknya.

“Saya sangat menghormati Ustaz Wadi dan juga para ulama, kalau mahu bandingkan nama saya dengan Ustaz Wadi, sangat jauh perbezaannya.

“Saya rasa hina sangat kalau mahu panjangkan isu ini. Niat saya hanyalah sekadar memohon keberkatan dengan meminta seorang ahli agama yang tinggi ilmu, mendoakan majlis dan rumah tangga saya.

“Saya mohon kepada orang ramai untuk tidak lagi kaitkan nama Ustaz Wadi dengan saya. Saya juga telah membuat permohonan maaf secara peribadi dengan beliau,” katanya lagi.

Terdahulu, netizen meluahkan rasa tidak selesa melihat kehadiran agamawan itu ke majlis resepsi pasangan berkenaan yang bertema ala kebaratan.

Netizen mempersoalkan kejanggalan apabila pendakwah itu ‘terpaksa’ berada dalam majlis di mana pengantin mengenakan pakaian tidak menutup aurat manakala tetamu yang hadir juga dilihat kurang tertib.

Dalam penjelasannya, Ustaz Wadi memaklumkan kehadirannya itu adalah kerana menjadi kewajipan untuk memenuhi undangan pernikahan, namun mengambil keputusan untuk meninggalkan majlis lebih awal selepas memaklumkan kepada tuan rumah.

Sumber : SH

Hadir Majlis Pernikahan Janna Nick. Ini Penjelasan Ustaz Wadi.

Pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar menjawab persoalan orang ramai apabila tular video dirinya menghadiri majlis resepsi pasangan pelakon, Janna Nick dan Dini Schatzmann di sebuah resort terkemuka di Langkawi, kelmarin.

Menurut Ustaz Wadi Annuar atau nama sebenarnya, Mohamad Wadi Annuar Ayub, dia dijemput oleh pihak tuan rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan dan bacaan doa.

Jelasnya, ketika tiba di majlis tersebut, dia tidak melihat pengantin lelaki mahupun perempuan lagi sebelum diminta pihak penganjur untuk duduk di suatu tempat.

“Selepas lebih kurang 10 minit, pengerusi majlis buat pembukaan sedikit dan mengumumkan untuk saya baca doa. Ketika itu, pengantin tiada lagi.

“Kemudian, selesai membaca doa, pengerusi majlis umum perarakan masuk pengantin dari hujung sana. Saya pun tengok dan terus beritahu pembantu saya, lepas ini kita kena terus balik.

“Jadi saya ambil keputusan tidak makan, tidak bergambar, tidak bersama dengan tentatif sehingga ke akhir majlis. Saya buat keputusan untuk terus balik,” katanya dalam siaran langsung di akaun TikToknya, hari ini.

 

USTAZ WADI HANYA DIJEMPUT BACAAN DOA

Tambahnya, dia tidak tahu apa yang akan berlaku dalam majlis itu kerana dijemput hanya untuk makan kenduri dan bacaan doa.

“Apabila melihat keadaan sebegitu, saya terus ajak pembantu saya beransur selepas pengantin beredar dan memang kami balik pun. Boleh tanya penganjur.

“Itu yang diajar oleh agama Islam, iaitu tidak memalukan orang, tidak menimbulkan persepsi yang negatif, tidak menjatuhkan tuduhan dan fitnah pada orang.

“Hukum tetap hukum tetapi pada masa yang sama kita tidak mahu keruhkan keadaan.

“Alhamdulillah semuanya tenang, pengantin pun ok tidak rasa apa-apa, saya pun menghadiri kenduri kahwin wajib. Apabila saya sampai, baru saya tahu keadaan disitu dan kemudiannya beredar,” ujarnya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila ramai pengguna meluahkan rasa segan apabila melihat kehadiran agamawan ke majlis resepsi pasangan berkenaan.

Wadi Annuar yang duduk di barisan hadapan tetamu dalam majlis itu juga kelihatan janggal apabila perlu melihat pakaian pengantin serta tetamu yang hadir dalam keadaan seksi dan tidak menutup aurat.

 

ANTARA KOMEN² NETIZEN

Ekoran itu, ramai yang meminta Wadi Annuar untuk memberi penjelasan kehadirannya ke majlis itu bagi mengelakkan fitnah.

“Ustaz nanti ustaz jelaskan pada kami semua, tidak sanggup tengok ustaz kena kecam sebab hadir majlis ini. Sabar ustaz ini adalah ujian untul ustaz,” komen Noor Atiqah.

“Ustaz nampak asing di majlis itu. Mana lah nak pandang agaknya.. nak tutup mata karang tertidur pula.. ujian,” komen pengguna yang lain pula.

 

JANNA NICK TERHARU

Selain itu, Pelakon dan penyanyi Janna Nick terharu hingga menitiskan air mata apabila ibu dan bapanya yang sudah lama berpisah dapat berhimpun kembali di majlis perkahwinannya.

Kata pemilik nama lengkap Nurul Jannah Muner itu, kehadiran kedua-dua insan disayangi itu cukup bermakna, sekali gus meninggalkan memori bersejarah yang terpahat kukuh dalam ingatan.

“Saya sangat berbesar hati melihat rakan-rakan selebriti yang sanggup datang dari Kuala Lumpur terbang ke sini (Langkawi).

“Memori yang paling tidak akan saya lupakan sampai bila-bila adalah apabila kedua-dua keluarga saya dapat disatukan kembali dalam sebuah majlis.

“Saya dapat tengok mak dan ayah saya dalam satu majlis. Saya dapat juga tengok Tok Wan. Terima kasih sangat-sangat.

“Ini adalah perkara yang sangat bermakna untuk saya,” katanya ketika membuat ucapan pada majlis persandingannya di sebuah resort di Langkawi.

Sebelum ini, aktres merangkap penerbit dan pengarah itu pernah mendedahkan orang tuanya bercerai ketika dia berusia sembilan tahun.

Anak kedua daripada empat bersaudara itu mendedahkan, dia kemudian memilih untuk berada di bawah jagaan neneknya.

Terdahulu, pernikahan Janna dan lelaki pilihan hati yang juga aktor, Dini atau Muhamad Dini Azan Schatzmann, 29, berlangsung pada 10 Jun lalu sekali gus menamatkan teka-teki ramai.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply