‘Scammer’ Guna Taktik Baru, Beri Kad Kahwin Digital. | SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka atau melayan mana-mana mesej atau hantaran meragukan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pelbagai taktik baharu dilakukan pihak scammer bagi memperdaya orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya mengesan taktik terbaharu scammer menerusi hantaran jemputan majlis perkahwinan yang disebar melalui aplikasi WhatsApp.

Kad kahwin digital semakin popular

“Taktik baharu itu meminta orang ramai untuk melakukan ‘klik’ (tekan) pada link yang disediakan bagi mendapatkan kad jemputan kahwin.

“Namun itu satu helah dan cara scammer untuk mencuri maklumat daripada orang ramai, seterusnya membuat pemindahan wang secara dalam talian.

“Untuk itu, orang ramai sebaiknya cuba elakkan daripada terjebak dengan sebarang mesej yang diragui puncanya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Scammer semakin licik

Baru-baru ini tular di aplikasi WhatsApp berhubung satu hantaran jemputan perkahwinan yang meminta orang ramai untuk membuat ‘klik’ pada link disediakan.

Namun ia satu helah licik pihak scammer mendapatkan maklumat dan membuat pengeluaran secara dalam talian tanpa disedari oleh pemilik akaun.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, taktik menipu orang ramai dengan cara baharu menerusi aplikasi WhatsApp sememangnya wujud.

Jelas beliau, taktik yang digunakan oleh pihak scammer itu menggabungkan semua pihak yang saling mengenali antara satu sama lain dengan tujuan memberi ‘respond’ kepada link yang disediakan.

“Modus operandi taktik baharu ini adalah melibatkan penggunaan data group atau contact list.

“Oleh itu, PDRM meminta semua pihak dan orang ramai untuk sama sekali jangan respond kepada link yang diberikan di dalam aplikasi WhatsApp,” ujar beliau.

Sumber: Sinar Harian

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

 

‘Scammer’ Ditahan, Cipta Akaun Palsu Dekorasi Hari Jadi

Seorang wanita ‘scammer‘ ditahan polis Sabtu lalu kerana disyaki terbabit dengan lebih enam kes penipuan perkhidmatan dekorasi belon hari jadi menerusi aplikasi Instagram.

Dengan menggunakan akaun Instagram ‘thepartyfairy.my’, suspek dipercayai memperdaya ramai mangsa membuat bayaran terlebih dulu, namun tidak menyediakan perkhidmatan seperti dijanjikan.

Tangkapan ke atas suspek susulan laporan polis dibuat oleh seorang mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek 30 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Shah Alam dalam serbuan di satu unit kondominium di KL Gateway Kerinchi, jam 4.30 petang.

“Pemeriksaan mendapati suspek terbabit dalam kes yang sedang disiasat oleh pihak BSJK IPD Shah Alam.

“Hasil serbuan itu, polis merampas dua telefon bimbit, satu unit CPU komputer, satu unit monitor, satu unit papan kekunci dan tetikus, sebuah I-Pad Pro.

“Turut dirampas 15 beg tangan pelbagai jenama, tiga pasang kasut pelbagai jenama, sepasang cermin mata dan sampul surat berwarna putih mengandungi dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan dokumen peguam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati suspek menjalankan perniagaan menawarkan perkhidmatan dekorasi melalui Instagram dan menjalankan aktiviti itu sejak Julai lalu.

“Mangsa yang berminat mendapatkan perkhidmatan dekorasi menghubungi suspek dan diarahkan untuk membuat bayaran ke akaun suspek.

“Bagaimanapun suspek gagal menyediakan perkhidmatan terbabit pada hari yang dijanjikan dan pengadu mengalami kerugian sebanyak RM700.

“Semakan mendapati suspek juga terbabit dalam enam lagi kes di Selangor dan Kuala Lumpur. Pihak polis meminta orang awam yang menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan polis,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa percaya dan yakin dengan perkhidmatan yang disediakan suspek memandangkan pengikut di Instagram berkenaan mencecah 12,000.

“Suspek mendakwa dia membuat dekorasi majlis hari jadi dan akikah tetapi gagal menunjukkan bukti apabila polis minta.

“Gambar-gambar yang dimuatnaik dalam Instagram itu juga seolah-olah ‘copy paste’ saja. Siasatan masih berjalan,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Justeru itu Mohd Iqbal meminta orang ramai lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan penipuan sebegini.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply