Cuba Larikan Diri Dari Polis, Kereta Pengedar Dadah Terbabas Masuk Tali Air | PENDANG – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dicekup polis selepas kereta suspek hilang kawalan dan terbabas ke dalam tali air Kampung Alor Besar, dekat sini pada petang Isnin.

Cuba larikan diri

Suspek berusia awal 30-an itu sebelum itu cuba melarikan diri selepas terserempak dengan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang di kawasan tepi jalan Kampung Batu Menunggul, dekat sini pada jam 6.30 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superitendan Arriz Sham Hamezah, pasukan polis yang menjalankan tugas Op Tapis Khas Kontinjen Kedah 2.0 kemudiannya terus mengejar suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih.

Kereta hilang kawalan

“Sebaik sahaja sampai di persimpangan tiga jalan mini tar Kampung Alor Besar, kereta suspek telah hilang kawalan dan terbabas ke dalam tali air Kampung Alor Besar.

“Pasukan Polis terus bertindak dengan turun dari kenderaan yang dinaiki dan masuk ke dalam tali air tersebut untuk mengeluarkan suspek yang masih berada dalam keretanya.

“Setelah berjaya membawa suspek dengan selamat ke atas tebing tanah dan pemeriksaan terhadap suspek dapati tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang undang. Pemeriksaan fizikal juga dapati suspek tidak mempunyai sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas Arriz Sham, suspek telah dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu merupakan seorang pengedar dadah yang aktif di kawasan daerah Pendang sejak setahun yang lalu.

“Suspek telah ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985),” ujar beliau lagi.

Sumber: Sinar Harian

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Pengedar Dadah M4ut Ditembak Selepas Langgar Polis | Lahad Datu: Seorang pengedar dadah ditembak mati selepas melanggar dua anggota polis yang cuba menahannya di tepi jalan, Jalan Plum Oil Industrial Cluster (POIC) Phase 2, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bertindak menahan Perodua Viva dipandu seorang lelaki kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad Berkata, ketika hendak ditahan untuk pemeriksaan, secara tiba-tiba, suspek mengundurkan keretanya dengan agresif dan melanggar salah seorang anggota dalam pasukan serbuan berkenaan.

Katanya, suspek kemudian membuat pusingan U dan memecut kereta dipandunya dengan melawan arus serta turut melanggar seorang lagi anggota dalam pasukan yang cuba menghalang suspek.

“Bagaimanapun, anggota terbabit sempat melepaskan tembakan ke arah kereta suspek bagi tujuan mempertahankan diri sebelum dilanggar.

“Suspek memecut kereta dipandunya kerana cubaan melarikan diri daripada ditahan oleh pasukan serbuan dan kemudian dilihat terbabas pada jarak 400 meter dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, pemeriksaan kemudian mendapati suspek tidak sedarkan diri dan terbaring di bahagian tempat duduk penumpang sebelah kiri.

Suspek disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang datang ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut polis merampas dadah disyaki syabu seberat 7.45 gram bernilai RM1,490, dua (pedang) samurai dan Perodua Viva itu.

“Suspek, warga tempatan berusia 28 tahun dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah narkotik dan komersial,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba bunuh dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan pengedaran dadah.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply