Polis Indonesia baru-baru ini menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang disyaki membunuh anak perempuan teman wanitanya pada Sabtu.
Suspek dipercayai memukul mangsa berusia tiga tahun kerana marah dengan tindakan mangsa yang tidak sengaja membuang air besar di atas katil.
Kejadian itu berlaku di Pangsapuri Kalibata City, Pancoran, Jakarta Selatan, Indonesia.
Menurut Ketua Polis Metro Jakarta Selatan, Komisaris Besar Ade Ary, suspek dikenali sebagai ‘S’ ditahan selang beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.
“Suspek ditahan di rumahnya di Cibinong dan akan didakwa atas kesalahan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak sehingga membawa maut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Pancoran, Komisaris Panji Ali Candra mengesahkan kejadian dan penangkapan suspek.
“Kejadian itu berlaku pada pukul 4.30 petang Sabtu lalu dan waktu kejadian ibu kepada kanak-kanak malang itu keluar bekerja.
“Mangsa ditinggalkan bersama suspek sebelum kejadian.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa berkemungkinan maut akibat dipukul dan dihempas ke lantai,” katanya.
Sumber: Majoriti
Baca Juga: Kes Pukul Anak Tiri, Lelaki Tampil Ke Balai
Pemandu lori yang memukul anak tirinya berusia lima tahun di Taman Sri Muda, dekat sini, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, tengah malam tadi.
Suspek berusia 30 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam pada jam 12.30 tengah malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol berkata, berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berlaku ekoran kanak-kanak itu berbohong bahawa bapa tirinya itu memukulnya.
“Ini menyebabkan suspek marah sebelum menampar anak tirinya.
“Tiada kelihatan sebarang kesan kecederaan pada kanak-kanak itu namun mangsa sudah dirujuk kepada hospital untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek direman tiga hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Semalam, media melaporkan pemandu lori itu diburu selepas satu rakaman video dia menampar serta memulas tangan kanak-kanak lelaki tular di media sosial.
Satu laporan polis turut dibuat seorang wanita berusia 25 tahun iaitu ibu kepada kanak-kanak itu berhubung tindakan suaminya.
Sumber: KMN