“Aktiviti Pemujaan Di Gunung Jerai Perlu Dihentikan”- Senator Idris Ahmad | Bencana yang terjadi di Gunung Jerai baru-baru ini mungkin sebagai tanda peringatan buat umat Islam supaya menghentikan aktiviti pemujaan atau khurafat yang berlaku di Gunung Jerai sebelum ini kerana ia bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, amalan khurafat yang dijalankan itu bukan sahaja dapat merosakkan akidah malah akan mengundang bala sehingga menjejaskan banyak pihak.
Tambahnya lagi, guru agama serta alim ulamak di Kedah juga diyakini telah memainkan peranan penting dalam usaha mencegah aktiviti khurafat dari terus berlaku di kawasan berkenaan.
Senator Idris Ahmad turut berharap agar segala aktiviti melibatkan amalan khurafat tersebut dihentikan kerana apabila datangnya bala dari Allah SWT, ia bukan sahaja terkena kepada si pelaku malah ia juga turut terpalit kepada mereka yang tidak terlibat dengan aktiviti berkenaan.
Jelasnya, sahabat suatu ketika dahulu pernah bertanya kepada Rasullulah SAW, apakah kami orang baik juga akan kena apabila datang bala, Nabi kata ya. Esok mereka akan dibangkitkan berdasarkan niat mereka.
Apabila diminta untuk mengulas lanjut berkenaan wujudnya aktiviti bertapa, memuja nombor ekor serta mandi bunga di puncak yang berlaku sbelum ini, Idris berkata bahawa pihaknya juga yakin Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan Pejabat Agama Daerah Yan telah melakukan pemantauan dan penguatkuasaan untuk menghalang amalan itu daripada terus berleluasa.
Susulan perkembangan lain mengenai bantuan kepada mangsa bencana alam di Gunung Jerai, beliau memaklumkan bahawa perancangan dan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi pertambahan bilangan jemaah di masjid sedang dibuat susulan tular sebuah video dakwaan layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat.
Sumber: Sinar Harian