.Al-Quran dibakar lagi, kali ini di luar Parlimen Sweden. | STOCKHOLM: Perbuatan dua lelaki membakar al-Quran di luar Parlimen di Stockholm. Meningkatkan kembali ketegangan antara Sweden dan negara-negara Islam.
Bertindak memijak dan membakar
Salwan Momika dan Salwan Najem bertindak memijak dan membakar kitab suci umat Islam itu, seperti mana dilakukan pada protes di luar masjid utama Stockholm. Sehingga mencetuskan kemarahan di seluruh Asia Barat.
Protes kali ini, sama seperti yang sebelumnya, hanya dihadiri sekumpulan kecil yang membantah perbuatan membakar al-Quran dan ditempatkan di luar sekatan polis, menurut wartawan AFP di lapangan.
Mereka menjulang naskah al-Quran sambil mengibarkan bendera Iraq mengutuk perbuatan Momika, yang terus mengejek dan melakukan provokasi terhadap mereka.
Ketika protes kali ini, Momika turut memijak gambar ulama Syiah yang juga pemimpin politik, Moqtada Sadr. Penyokongnya menyerbu Kedutaan Sweden di Baghdad bagi membantah perbuatan membakar al-Quran.
Momika dan Najem turut mengadakan protes sama di luar Kedutaan Iraq di Stockholm pada 20 Julai lalu, di mana mereka memijak tetapi tidak membakar al-Quran.
Polis Sweden memberikan permit kepada penunjuk perasaan yang memperjuangkan supaya al-Quran diharamkan di negara itu.
Membantah dan menuntut al-Quran diharamkan
Najem dalam permohonannya, berkata dia mahu membantah di hadapan Parlimen Sweden dan menuntut supaya al-Quran diharamkan serta turut menyatakan bahawa dia akan ‘membakar al-Quran di sana’.
Jurucakap Polis Stockholm, Mats Eriksson, berkata acara itu ‘dijalankan tanpa sebarang gangguan ketenteraman awam yang serius’.
Perdana Menteri dan Presiden Iraq mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan berulang kali mencemarkan nama baik al-Quran, tanpa tindak balas daripada pihak berkuasa.
Mereka menggesa negara-negara di mana serangan berlaku untuk mengambil ‘pendirian yang lebih tegas dan menamatkan amalan jenayah itu’.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang merangkumi 57 negara anggota dan berpangkalan di Jeddah, semalam, mengadakan pertemuan untuk menyuarakan ‘kekecewaan’ terhadap tindak balas Sweden dan Denmark berhubung isu itu.
Setiausaha Agungnya, Hissein Brahim Taha, menggesa kedua-dua negara itu mencegah perbuatan seumpamanya dan ‘menyuarakan kekecewaannya kerana tiada tindakan diambil dalam hal itu setakat ini’. – AFP
Sumber: Berita Harian
BACA JUGAK ARTIKEL INI
Turki Beri ‘Amaran’ Sweden Selepas Insiden Bakar Al-Quran
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, semalam memberi amaran bahawa Sweden tidak boleh mengharapkan sokongan negara itu untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas insiden pembakaran Al-Quran, di luar kedutaannya, di Stockholm.
Kenyataan Erdogan itu menjauhkan lagi prospek Sweden dan Finland untuk menyertai pakatan pertahanan Barat sebelum pilihan raya presiden dan parlimen Turkiye, Mei ini.
Turkiye dan Hungary adalah satu-satunya anggota NATO yang tidak meratifikasi keputusan bersejarah kedua-dua negara untuk memecahkan tradisi berkecuali ketenteraan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, berjanji bahawa parlimennya akan meluluskan kedua-dua bidaan itu bulan depan.
PANGKALAN PILIHANRAYA
Bagaimanapun, Erdogan memperkukuhkan langkahnya menuju pilihan raya dengan membangkitkan pangkalan pilihan raya nasionalisnya.
“Sweden tidak sepatutnya mengharapkan sokongan Turkiye untuk NATO.
“Adalah jelas bahawa mereka yang menyebabkan aib di hadapan kedutaan kita, tidak boleh mengharapkan sebarang kebajikan berhubung permohonan untuk menjadi ahli NATO,” katanya.
Sweden bagaimanapun sangat berhati-hati dalam membalas kenyataan Erdogan.
Menteri Luarnya, Tobias Billstrom, berkata beliau tidak boleh mengulas mengenai kenyataan itu kerana mahu memahami dengan tepat apa yang dikatakan.
Pemimpin Sweden mengecam keras tindakan ahli politik sayap kanan, Rasmus Paludan, bagaimanapun mempertahankan definisi kebebasan bersuara negara itu.
“Saya ingin menyatakan simpati saya kepada semua umat Islam yang tersinggung dengan apa yang berlaku di Stockholm hari ini,” menurut Perdana Menteri, Ulf Kristersson dalam ciapannya di Twitter, Sabtu lalu.
SYARAT ERDOGAN
Erdogan bagaimanapun sudah menetapkan beberapa syarat yang sukar termasuk permintaan supaya Sweden mengekstradisi puluhan suspek Kurdish yang dituduh atas “keganasan” atau terbabit dalam rampasan kuasa 2016 yang gagal.
Sebelum ini, hubungan Turkiye dan Sweden menunjukkan kemajuan dengan lawatan oleh menteri tertinggi ke Ankara.
Stockholm juga menggubal satu pindaan perlembagaan bagi membolehkan undang-undang antikeganasan yang lebih ketat seperti dituntut oleh Ankara, diluluskan.
Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi buruk apabila sekumpulan kecil Kurdish menggantung patung Erdogan di luar dewan bandar raya Stockholm awal bulan ini.
Turki memanggil duta Sweden dan membatalkan jemputan speaker parlimennya untuk melawat Ankara.
Keputusan polis Sweden untuk meluluskan bantahan Paludan mendapat respons yang sama.
Turkiye memanggil duta Stockholm dan membatalkan lawatan yang dirancang oleh menteri pertahanan Sweden.
Erdogan berkata, pembakaran kitab suci umat Islam adalah jenayah kebencian yang tidak dapat dipertahankan dengan kebebasan bersuara.
Setiausaha agung NATO, Jens Stoltenberg, mengecam pendirian Erdogan berhubung Sweden.
Dalam satu temu bual, beliau berkata bahawa kebebasan bersuara, kebebasan berpendapat adalah komoditi yang berharga, di Sweden dan di semua negara NATO yang lain.
“Dan itulah sebabnya tindakan tidak wajar ini tidak secara automatik menyalahi undang-undang,” katanya.
Stoltenberg, sebelum ini bercakap mengenai proses keahlian pantas dalam hanya beberapa minggu dan menambah bahawa kerajaan Sweden telah mengutuk demonstrasi itu “dalam istilah yang sangat jelas”.
Sumber: BH