Aneh! Kubur Di Sibu Dipecah, Keranda Dibakar Dan Tulang Hilang | SIBU: Bukan sahaja kubur dipecahkan, malah keranda turut dibakar dan semua rangka si mati di dalam keranda itu hilang.

Itu kejadian aneh yang berlaku membabitkan tujuh kubur di tanah perkuburan Cina, Bukit Aup, di sini.

Pengerusi Persekutuan Persatuan Kubur-kubur Cina Bahagian Sibu, Kaunselor Teo Boon Siew, berkata kejadian itu disedari oleh beberapa keluarga yang datang untuk memperingati serta membersihkan kawasan tanah perkuburan nenek moyang dan ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia sempena sambutan Ching Ming pada Ahad lalu.

“Ya, memang benar. Semuanya ada tujuh kubur yang dipecahkan kerana kubur di sini (tanah perkuburan Cina, Bukit Aup) tidak ditanam dalam tanah dan hanya dimasukkan ke dalam lubang yang ditutup menggunakan simen dan bata.

“Kami juga mendapati keranda daripada kubur berkenaan diseret keluar dan dibakar di semak berhampiran.

“Kami tidak tahu apa motif sebenarnya individu itu berbuat demikian,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kesan keranda yang dibakar itu dapat dilihat di semak berhampiran dan berdasarkan kesannya ia dipercayai dilakukan kira-kira seminggu yang lalu.

Bagaimanapun, Teo berkata apa yang pelik, rangka atau tulang temulang si mati langsung tidak ditemui.

“Kita percaya mereka yang menjalankan kegiatan ini hanya mahukan tulang si mati. Kenapa saya berkata begitu sebab tiada langsung satu ketul pun tulang dijumpai.

“Mungkin mereka mengumpul tulang si mati untuk kegunaan sesuatu tetapi kita tidak tahu apa motifnya mereka berbuat demikian,” katanya.

Justeru, Teo mengecam tindakan sedemikian yang dianggapnya tidak menghormati orang yang sudah meninggal dunia.

Beliau juga percaya, pelaku adalah orang yang berpengalaman mengenai selok-belok urusan pengebumian.

Katanya, semua ahli keluarga terbabit juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Merah.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Collin Babat mengesahkan pihaknya ada menerima empat laporan berhubung kejadian menceroboh kubur berkenaan pada Isnin.

“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh tanah perkuburan,” katanya ketika dihubungi.

SUMBER : Berita Harian

Share.

Leave A Reply