Anggota Polis Berpesta Di Balai, Tiada Pendakwaan Jenayah Disabitkan | Berhubung kes Ketua balai berpangkat sub inspektor dan tiga anggotanya yang ditangkap ketika berpesta di dalam sebuah balai polis di daerah Kajang pada 20 Julai lalu dilaporkan hanya bakal dikenakan tindakan tatatertib, menurut laporan Sinar Harian. 

Anggota Polis Berpesta Di Balai, Tiada Pendakwaan Jenayah Disabitkan

Menurut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, Timbalan Pendakwa Raya memutuskan untuk tidak membuat pertuduhan jenayah berikutan ujian air kencing kali kedua terhadap anggota dan pegawai terlibat didapati negatif dadah.

Jelasnya, beliau dimaklumkan bahawa ujian air kencing kali kedua yang dijalankan untuk pengesahan pakar patologi didapati pegawai terbabit negatif penyalahgunaan dadah.

Azri berkata lagi, siasatan berhubung tatatertib terhadap keempat-empat anggota berkenaan masih berjalan di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Difahamkan kesemua anggota yang terlibat telah diarahkan mengemukakan surat representasi kepada semua pertuduhan berhubung kesalahan mereka sebelum keputusan lanjut dibuat ke atas mereka.

Sehubungan dengan itu, mereka dilaporkan akan dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Sebelumnya, pada 28 Julai lalu, siasatan akan dijalankan terhadap kesalahan penggunaan dadah dan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), manakala pihak JIPS menjalankan siasatan selari dengan tatatertib.

Ketua balai berkenaan dan tiga anggota polis berpangkat koperal dan koperal sokongan, serta empat wanita orang awam ditahan dalam sebuah bilik khas di tingkat dua balai polis berkenaan.

Serbuan di JIPS Bukit Aman mendapati sebahagian daripada mereka dipercayai sedang berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply