Kota Kinabalu: Anggota polis putus kaki kanan apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah jip di Jalan Lintas, berhadapan sebuah pasar raya, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa berpangkat koperal berusia 35 tahun yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dalam perjalanan ke tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, menurut saksi kejadian, pemandu jip dikatakan membuat pusingan U di tempat yang salah.
Katanya, terdapat pemandu lain yang membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu berkenaan, namun kenderaan itu sudah masuk ke laluan sebelah.
“Mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Kolombong menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku pelanggaran.
“Akibatnya, mangsa putus kaki kanan sehingga bahagian betis akibat terkena besi hadapan kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pihak ambulans di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.
“Pemandu jip tidak mengalami sebarang kecederaan dan disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan sampel darah pemandu jip sudah diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
Mohd Zaidi berkata, jip itu turut ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Baca Juga: Lelaki Putus Tangan Gara-Gara Main Mercun Buatan Sendiri | Gara-gara bermain mercun buatan sendiri, seorang lelaki berusia 27 tahun putus tangan kiri dan sebahagian jari tangan kanan di Kampung Gong Pak Damat, di sini hari ini.
Kejadian yang turut mencederakan beberapa bahagian badan mangsa itu dikatakan berlaku pada pukul 3.30 pagi.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal mendapati lelaki tersebut telah membancuh mercun buatan sendiri menggunakan mercun bola dan paip PVC.
“Mercun buatan sendiri berkenaan telah menyebabkan letupan besar sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius.
“Tangan kiri putus hingga ke pergelangan, beberapa jari kanannya hancur manakala beberapa bahagian badan lain turut cedera,” katanya, di sini hari ini.
Rohaimi berkata, lelaki berkenaan telah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 manakala pengedar dan penjual mercun bola terbabit sedang dikesan.
“Ini kes kedua kecederaan akibat bermain mercun di negeri ini sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.
Kosmo! Online 6 April lalu melaporkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menjadi mangsa pertama bermain mercun pada bulan Ramadan ini.
Sumber : Kosmo