ASEAN menggesa pelbagai pihak terutama negara yang mempunyai kuasa besar mengambil tindakan konkrit bagi mencari penyelesaian secara aman membabitkan krisis Myanmar.
Menurut Pengerusi ASEAN ketika ini iaitu Kemboja, negara blok itu bimbang dengan keganasan yang semakin meningkat di Myanmar, termasuk insiden pengeboman di penjara Insein dan pergolakan di negeri Karen, baru-baru ini.
ASEAN juga telah menunjukkan kebimbangan terhadap serangan udara di sebuah perhimpunan awam di negeri Kachin, sekali gus menyebabkan 80 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.
“Kita amat sedih dengan jumlah korban akibat keganasan yang semakin meningkat, dan penderitaan dialami jutaan penduduk Myanmar. Oleh itu, kita mendesak supaya keganasan di Myanmar dapat dihentikan segera.
“Jadinya, kita meminta semua pihak termasuk yang mempunyai kuasa besar mengambil tindakan konkrit bagi membolehkan proses dialog inklusif dan konstruktif dilaksanakan untuk mencapai perdamaian nasional di Myanmar.
“Ia juga adalah demi keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataannya, pihak mereka menyifatkan pertempuran terbaru yang semakin sengit di Myanmar bukan sahaja memburukkan lagi situasi kemanusiaan di negara itu. Malahan, ia juga bertentangan dengan semangat Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC).
Katanya, ia turut menjejaskan usaha Duta Khas Pengerusi ASEAN ke atas Myanmar untuk membawa kemajuan dalam pelaksanaan 5PC.
Ahad lalu, tentera Myanmar melancarkan serangan udara sehingga meragut lebih 80 nyawa, termasuk penyanyi dan pemuzik, pada sambutan ulang tahun pertubuhan politik utama etnik minoriti Kachin, menurut ahli kumpulan itu serta anggota penyelamat.
Serangan itu berlaku beberapa hari sebelum menteri-menteri luar ASEAN dijadualkan menghadiri mesyuarat khas di Indonesia esok, untuk membincangkan isu keganasan yang semakin meluas di Myanmar.
Insiden itu berlaku ketika majlis sambutan diadakan oleh Pertubuhan Kemerdekaan Kachin (KIO) di wilayah A Nang Pa, Kachin itu malam Ahad lalu.
Jumlah korban akibat kejadian itu dikatakan adalah yang tertinggi dalam satu serangan udara, sejak tentera merampas kuasa daripada pentadbiran Aung San Suu Kyi pada Februari tahun lalu.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar simpati dan sedih terhadap laporan serangan udara yang berlaku di Hpakant itu.
Menurut PBB, pihaknya turut menggesa mereka yang cedera supaya mendapatkan rawatan perubatan.
“PBB akan mendapatkan butiran serangan ini dan menzahirkan ucapan takziah buat semua keluarga dan mangsa yang terbunuh dan cedera,” katanya.
Sumber: Berita Harian